Australia perlu atasi Peru untuk ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 Qatar
Kemenangan pasukan Australia 2-1 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal pagi tadi membuka peluang buat pasukan itu untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar buat kali ke-5 berturut-turut.
Namun begitu, laluan pasukan yang dikenali dengan jolokan Socceroos ini bukanlah mudah kerana mereka perlu tewaskan Peru pada perlawanan play-off yang akan berlangsung pada 14 Jun ini di Stadium Al-Rayyan, Qatar.
Pasukan Peru telah menempah tempat ke play-off Piala Dunia selepas menewaskan Paraguay 2-0 pada 30 Mac lalu.
Misi kedua-dua pasukan pasti inginkan kemenangan dan layak ke pusingan akhir Piala Dunia serta memperbaiki percapaian tahun 2018.
Realitinya pasukan dari Amerika Latin itu bukan lawan yang mudah kerana mereka merupakan juara dua kali Copa America, selain mempunyai pemain-pemain yang cukup lincah di padang.
Berdasarkan kedudukan ranking yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Peru berada di kedudukan ke-22 berbanding Australia di tangga ke-42.
Untuk rekod, lima perlawanan terakhir kedua-dua pasukan ini berpihak kepada Peru dengan tiga kemenangan, satu kalah dan satu seri.
Percapaian terbaik Peru dalam Piala Dunia adalah layak ke peringkat suku akhir sebanyak dua kali iaitu 1970 dan 1978.
Bagi Australia pula, mara ke pusingan kedua pada tahun 2006 adalah percapaian tertinggi dalam Piala Dunia.
Di atas kertas, Peru dilihat mempunyai peluang untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia, namun Australia sudah pasti tidak akan memberi laluan kepada pasukan yang diberi jolokan Los Incas itu.
Kedua-dua pasukan ini pernah berada dalam kumpulan yang sama ketika Piala Dunia 2018 dengan Peru berjaya tumpaskan Australia 2-0.
Sementara itu, Australia perlu bekerja keras sekiranya mahu mendapatkan keputusan positif menentang Peru, mereka perlu memperbaiki kualiti di bahagian serang yang ketika ini dilihat sedikit tumpul.
Berdasarkan perlawanan menentang UAE awal pagi tadi, pasukan Australia bermain dengan baik tetapi mereka bergelut untuk menyudahkan peluang terhidang.
Australia akan mengiringi Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi dan Iran jika layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 yang akan bermula pada November nanti di Qatar.