SNBJ kembali bergegar dengan sorakan penyokong Harimau Malaya
Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dilimpahi dengan puluhan ribu peminat setia bola sepak tanah air untuk menyaksikan perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Turkmenistan yang menyaksikan skuad negara berjaya menang 3-1.
Seramai 21,591 penyokong telah memenuhi stadium pada malam ini dengan hampir kesemuannya memakai jersi Harimau Malaya sebagai tanda sokongan padu buat pasukan negara.
Penyokong mula membanjiri perkarangan stadium sejak jam 4.00 petang walaupun perlawanan dijadualkan bermula jam 9.00 malam.
Rata-rata penyokong yang ditemui yakin pasukan kendalian Kim Pan-gon akan menang pada perlawanan pertama ini.
Sorakan bertenaga dari penyokong membuahkan hasil apabila Harimau Malaya berjaya mendominasi permainan dan berjaya menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama.
Nyanyian semangat dari Ultras Malaya juga menjadi perhatian ramai dengan paluan gendang sepanjang perlawanan berlangsung membangkitkan lagi semangat pemain serta penyokong yang berada dalam stadium.
Selain penyokong tuan rumah, penyokong pasukan lawan turut sama memeriahkan perlawanan pada malam ini.
Walaupun bilangan mereka tidak ramai, namun mereka tetap hadir untuk memberikan sokongan padu buat pasukan kebangsaan mereka.
Antara penyokong pasukan lawan yang sempat di temubual adalah penyokong dari Bangladesh dan Turkmenistan.
Seperti penyokong Harimau Malaya, mereka juga yakin dan mengharapkan kemenangan berpihak kepada pasukan negara mereka.
Pada aksi perlawanan pertama antara Bahrain dan Bangladesh yang berlangsung pada sebelah petang telah menyaksikan Bahrain menang mudah dengan 2-0.
Jadi ayuh Ekor Harimau Malaya, kita turun stadium ramai-ramai untuk memberi sokongan padu kepada pasukan kebangsaan.