Sokongan peminat sangat padu, saya rasa bangga wakili Malaysia – De Paula

Penyerang naturalisasi sensasi kebangsaan, Guilherme de Paula teruja dengan sokongan yang diberikan penyokong ketika perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan malam tadi dan berharap lebih banyak penyokong hadir pada perlawanan seterusnya menentang Bahrain.
Menurut De Paula, suasana dalam stadium pada perlawanan itu sangat menakjubkan dan mana-mana pemain pastinya mahu bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Beliau berkata sokongan yang diberikan membuatkannya berasa bangga untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
“Dengan sokongan yang diberikan oleh penyokong kami semua bersemangat untuk beraksi lebih daripada 100 peratus.
Apa yang boleh saya katakan ialah saya bangga berada di negara ini dan saya bangga mewakili Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga berkata beliau tidak mengiraukan komen-komen negatif yang ditujukan oleh sebilangan peminat kepadanya dan fokus untuk memperbaiki permainannya dalam setiap perlawanan.
Pemain veteran berusia 35 tahun itu juga berkata kem negara kini berada dalam mood positif dan berusaha keras untuk merealisasikan impian mereka iaitu untuk layak ke Piala Asia 2023 secara merit.
Mengenai perlawanan seterusnya menentang Bahrain, beliau merasakan bahawa kedua-dua pasukan mempunyai kehebatan tersendiri dan tidak terlalu memandang tinggi kepada keupayaan pihak lawan.
“Saya akui Bahrain adalah satu pasukan yang kuat tetapi kita juga kuat, jadi kita akan turun dan berlawan bermatian-matian untuk lihat siapa yang lebih hebat.
Kami telah bekerja keras selama beberapa hari ini dan sasaran saya adalah untuk layak ke peringkat seterusnya.”
Pada masa sama beliau berkata kemenangan menentang Turkmenistan meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk layak ke Piala Asia 2023 dan para pemain akan berusaha untuk mengekalkan rentak kemenangan pada perlawanan seterusnya.
Malaysia akan bertemu Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh pada 14 Jun.