Taktikal menyerang elemen utama pasukan negara cipta kejutan – Corbin Ong
Pemain pertahanan negara, La’Vere Corbin-Ong mempamerkan aksi bertenaga menahan asakan daripada pasukan Turkmenistan pada perlawanan pertama Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 yang menyaksikan Malaysia menang 3-1.
Corbin juga turut menyumbang kepada kemenangan pasukan negara apabila berjaya menjaringkan gol pada penghujung separuh masa pertama.
Beliau berkata kejayaan pada malam ini sebagai hasil daripada strategi yang diterapkan oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.
“Saya rasa jenis permainan yang ingin kami bawakan adalah high energy, high pressing dan fast attacking, semua pemain telah bersedia dengan permainan seperti ini dan kami telah berlatih bersama untuk masa yang mencukupi.
Taktikal menyerang yang ingin digunakan menentang Turkmenistan berhasil apabila banyak peluang dapat dihasilkan pada 15 minit pertama,”
katanya.
Selain itu, gandingan mantap yang ditunjukkan oleh barisan pertahanan negara sedikit sebanyak menjadi antara penyebab kepada kemenangan yang dimiliki Harimau Malaya.
Meskipun Turkmenistan dibarisi oleh beberapa pemain yang lincah dan rata-rata mempunyai fizikal yang besar, namun pergerakan mereka mudah dibaca oleh pemain pertahanan negara dan dapat mematahkan serangan dengan mudah.
Prestasi keseluruhan pasukan dilihat cukup memberangsangkan dan harus diteruskan pada perlawanan seterusnya.
Tetapi, masih terdapat aspek yang perlu diperbaiki oleh pasukan negara terutamanya komunikasi antara pemain.
Jaringan tunggal pihak lawan adalah hasil daripada salah faham yang berlaku di barisan belakang sehingga menyebabkan kesalahan mudah yang memberikan gol kepada pasukan Turkmenistan.
Corbin jelas mencuri tumpuan pada hari ini menerusi keberanian beliau mengawal segala asakan daripada pemain sayap lawan.
Ditambah dengan kejayaan beliau menjaringkan gol penting untuk pasukan negara.
“Gol hari ini merupakan jaringan terbaik yang pernah saya lakukan, tetapi setiap jaringan adalah penting dan setiap gol akan dapat membantu pasukan.
Sudah sekian lama saya tidak menjaringkan gol seperti ini, tapi yang penting saya sangat gembira dapat membantu pasukan.”
Pemain pertahanan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC itu akan terus membantu pasukan negara pada perlawanan seterusnya menentang Bahrain dan Bangladesh.