Skuad B-23 negara pulang dari Uzbekistan dengan tangan kosong

724

Impian pasukan kebangsaan untuk sekurang-kurangnya membawa tiga mata pulang ke tanah air tidak kesampaian apabila mereka tumpas 2-0 di tangan Vietnam pada perlawanan terakhir Kumpulan C Piala Asia B-23 malam tadi.

Anak buah Brad Maloney dikejutkan dengan jaringan awal pada minit ke-28 oleh Nham Manh Dung.


Nasib malang Harimau Muda berterusan apabila pada minit 45+8 pemain negara iaitu Hairiey Hakim dilayangkan kad merah sekaligus menghadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh Bui Hoang Viet Anh.

“Kami bermula dengan baik tetapi pada penghujung babak pertama Vietnam dihadiahkan sepakan penalti dan pemain saya dikenakan kad merah ia telah menyebabkan kami sukar untuk bangkit dalam perlawanan ini.

Ia sangat sukar buat pemain saya tetapi kredit harus diberikan kepada pemain Vietnam atas kemenangan mereka,”

katanya.

Dalam pada itu, Maloney berkata walaupun mereka gagal untuk mara ke peringkat suku akhir, namun ia merupakan satu pengalaman berharga buat pemainnya yang mana sebanyak 15 pemain masih lagi layak untuk bermain di Piala Asia B-23 pada tahun hadapan.

Terdahulu pasukan B-23 negara bermula dengan langkah kiri apabila tewas di tangan juara bertahan Korea Selatan dengan 4-1.

Harimau Muda yang diramal akan membuat kebangkitan ketika menentang Thailand juga tidak kesampaian apabila mereka tumpas 3-0.

Susulan kegagalan skuad B-23 di Uzbekistan ini, nasib pengendali dari Australia itu akan diketahui selepas laporan penuhnya diteliti oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum tindakan selanjutnya diambil.