Kenapa Tan Cheng Hoe perlu dikekal

226

Baca tajuk ini pastinya ramai peminat Harimau Malaya akan berang dan mempersoalkan kenapa perlu kekalkan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe selepas prestasi yang sangat mengecewakan apabila Malaysia tersingkir awal daripada saingan Piala AFF Suzuki 2020 selepas tumpas di tangan Indonesia 1-4 pada perlawanan terakhir kumpulan B.

Desakan segelintir peminat mahu pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memecat Cheng Hoe ini sudah lama disuarakan tetapi tiada sebarang tindakan diambil dan ada dikalangan peminat yang masih memberi sokongan kepada bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kerana percaya dia mampu membentuk skuad kebangsaan yang ampuh.


Bagaimanapun entah di mana silapnya, setiap percaturan yang dibuat oleh Cheng Hoe sentiasa mendapat kritikan bukan sahaja di kalangan peminat, tetapi juga daripada bekas pemain dan juga penganalisis sukan.

Tidak dapat dinafikan sejak kekalahan memalukan Malaysia di tangan Indonesia semalam, desakan untuk Cheng Hoe letak jawatan semakin rancak. Komen warganet di laman Facebook FAM hampir kesemuanya menyuarakan perkara sama iaitu Cheng Hoe perlu letak jawatan.

TETAPI…Adakah kekalahan skuad negara ini berpunca daripada Cheng Hoe seorang atau ada campur tangan daripada tangan ‘ghaib’ sehingga membuatkan jurulatih sukar membuat sebarang keputusan seperti siapa yang ingin dipanggil dan siapa yang layak main.

Agak menghairankan kerana  Cheng Hoe mempunyai rekod dan reputasi cemerlang sebelum menggalas jawatan ‘panas’ sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Pada tahun 2004 hingga 2013 beliau menjadi penolong jurulatih kepada Dato’ K. Rajagopal yang mana Malaysia mencapai banyak keputusan baik seperti berjaya ke peringkat suku akhir Kejohanan Remaja AFC 2004 dan layak ke Kejohanan Remaja AFC 2006.

Beliau bersama Rajagopal turut mencipta sejarah apabila menamatkan kemarau trofi di peringkat serantau dengan memenangi Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010.

Sumber foto: Kedah FA Facebook

Kejayaan Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih Malaysia telah menarik perhatian KDA FC yang mana beliau kemudian ditawarkan untuk menjadi ketua jurulatih KDA FC pada tahun 2014 menggantikan Dave Mitchell yang dipaksa ‘cuti rehat’ susulan prestasi buruk pada separuh pertama Liga Perdana Malaysia.

Cheng Hoe tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri sebaliknya terus memperkenalkan falsafah baru dalam dunia bola sepak KDA FC dan ia membuahkan hasil apabila KDA FC berjaya menjadi juara Liga Perdana pada tahun 2015 dan naik ke Liga Super.

Sepanjang bersama KDA FC, pelbagai kejuaraan berjaya diraih oleh Cheng Hoe seperti juara Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Piala FA, malah kejayaan beliau mengendali KDA FC membuatkannya dinobat sebagai Jurulatih Terbaik Tahunan Liga-M di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016.

Sumber foto: Kedah FA Facebook

Kejayaan Cheng Hoe kemudian mendapat perhatian FAM yang mana kemudian telah melantik beliau menjadi penolong jurulatih Malaysia di bawah Nelo Vingada. Bagaimanapun persembahan buruk skuad kebangsaan ketika itu menyebabkan Vingada dipecat dan Cheong Hoe diberi tugasan sebagai ketua jurulatih sehingga kini.

Sumber foto: FAM Malaysia Facebook

Sejak mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Malaysia, hampir kesemua keputusan beliau seperti pemilihan pemain dan taktikal sentiasa mendapat kritikan peminat. Bagaimanapun ada segelintir peminat yang merasakan setiap keputusan yang dibuat oleh Cheng Hoe bukannya daripadanya sebaliknya ada ‘tangan ghaib’ yang masuk campur. Benar atau tidak hanya beliau seorang sahaja yang dapat menjawabnya.

Ramai yang masih percaya dengan Cheng Hoe dan sekiranya beliau diberikan kebebasan dalam membuat setiap keputusan tanpa sebarang campur tangan daripada sesiapa, beliau mampu bentuk skuad yang berbeza dari apa yang ada ketika ini.