Rapid KL tak mesra penyokong bola sepak

3,170

Pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Turkmenistan semalam, terdapat sebilangan penyokong yang hadir ke stadium menaiki kenderaan sendiri dan ada juga yang memilih untuk menaiki LRT.

Melihat sambutan penyokong negara yang begitu menggalakkan, Rapid KL kemudian telah membuat pengumuman lanjutkan operasi LRT selepas perlawanan itu kira-kira pukul 7.00 petang semalam di media sosial mereka.


Perkara itu ternyata mengecewakan segelintir penyokong yang hadir menggunakan kenderaan sendiri kerana mereka pada mulanya berhasrat mahu menggunakan perkhidmatan LRT.

Bukan sahaja terpaksa meredah kesesakan untuk ke stadium, mereka juga terpaksa menunggu lama hanya untuk keluar daripada kawasan parkir selepas perlawanan tamat kerana begitu banyak kereta berpusu-pusu untuk keluar pada masa yang sama.

Ramai penyokong sebenarnya lebih memilih untuk hadir ke stadium menggunakan pengangkutan awam kerana lebih praktikal dan tidak perlu bersesak di jalanraya ketika pergi dan pulang, selain tidak perlu membayar caj meletak kenderaan.

Namun kebimbangan tidak sempat untuk mengejar LRT terakhir menyebabkan ramai yang hadir menggunakan kenderaan sendiri.

Jika Rapid KL membuat pengumuman itu lebih awal, peminat boleh merancang perjalanan mereka dengan lebih tersusun dan membuat perancangan awal untuk ke stadium menggunakan LRT.

Pihak Rapid KL sepatutnya sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku kerana ini bukanlah kali pertama Malaysia menganjurkan kejohanan besar seperti ini.

Ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017, Rapid KL sendiri pernah melanjutkan operasi LRT sehingga pukul 2 pagi.

Jadi apakah alasan untuk tidak mempunyai perancangan awal bagi Kelayakan Piala Asia 2023 ini, lebih-lebih lagi jika diambil kira bahawa bola sepak adalah sukan nombor satu negara.

Mungkin sudah mengambil pengajaran daripada perlawanan semalam, pihak Rapid KL hari ini telah mengumumkan bahawa mereka akan melanjutkan perkhidmatan LRT Sabtu ini selepas perlawanan antara Malaysia dan Bahrain sama seperti semalam.

Pada perlawanan tersebut, kehadiran dijangka akan lebih ramai memandangkan ia akan berlangsung pada hujung minggu.

Dengan perlawanan berlangsung pada hujung minggu ditambah pula dengan kemenangan yang dikecapi semalam, sudah semestinya lebih ramai peminat teruja untuk menyaksikan aksi skuad negara.

Oleh itu, pihak Rapid KL mungkin boleh mempertimbangkan untuk melanjutkan lagi tempoh perkhidmatan tren lebih lama.

Pada masa yang sama, pihak Rapid KL sepatutnya sudah mempunyai perancangan mengenai lanjutan operasi LRT sehingga ke perlawanan terakhir pada 14 Jun ini dan tidak membuatkan penyokong tertunggu-tunggu supaya boleh merancang perjalanan dengan lebih awal.

Jika dilihat jumlah kehadiran penyokong semalam iaitu seramai 21,591 orang, ia masih lagi dianggap sedikit berbanding jangkaan sekurang-kurangnya 50,000 penyokong.

Mungkin ia disebabkan ramai yang memilih untuk menonton di kaca televisyen di rumah masing-masing kerana tidak mahu bersesak untuk hadir ke stadium dan juga tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk hadir.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dan para pemain sebelum ini berkali-kali menyeru penyokong untuk membanjiri stadium bagi memberi semangat kepada pasukan, tetapi jika kemudahan untuk ke stadium tidak disediakan, sudah tentu penyokong juga tiada motivasi untuk ke stadium.

Jadi inilah masanya untuk Rapid KL memainkan peranan mereka sebagai ‘jambatan’ buat penyokong dan pasukan Harimau Malaya.

Dalam pada itu, selepas Kelayakan Piala Asia 2023 ini, Bukit Jalil sekali lagi akan menjadi tumpuan peminat sukan negara terutama badminton kerana akan menganjurkan kejohanan Terbuka Malaysia bermula 26 Jun ini.

Rapid KL harus mengambil pengajaran daripada situasi Kelayakan Piala Asia 2023 ini dan tidak menunggu sehingga saat-saat terakhir untuk melakukan perancangan.