Kim Pan-gon harap TMJ dapat turun stadium sokong Harimau Malaya
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berharap agar Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail dapat turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk memberi sokongan kepada Malaysia yang akan menentang Bahrain hari Sabtu ini.
“Saya amat menghargai sekiranya esok TMJ dapat turun menyokong pasukan kebangsaan kerana ia akan memberi motivasi kepada pemain,”
katanya.
Tambahnya lagi, ia adalah satu kerugian besar buat bola sepak negara jika TMJ berundur dari dunia bola sepak kerana baginda merupakan seorang individu yang mempunyai semangat cintakan bola sepak yang cukup mendalam.
Pada masa sama Pan-gon juga memahami mengapa pemain-pemain sangat sayang dengan TMJ kerana visinya dalam membangun dan membantu bola sepak tanah air.
Dalam pada itu, Pan-gon bercerita lanjut mengenai persiapan pasukan kebangsaan untuk perlawanan penting menentang Bahrain dalam perlawanan kedua Kelayakan Piala Asia 2023.
“Kami sudah mempunyai persediaan untuk menentang Bahrain. Walaupun ranking mereka jauh lebih tinggi dari kita, tetapi ia tidak bermakna pasukan kita lemah sebaliknya saya yakin dengan kemampuan pemain untuk meraih keputusan positif.
Malah kami juga bukan mahu bermain untuk tidak kalah tetapi kami mahu menang untuk kutip tiga mata penuh.”
Pan-gon juga berkata pemainnya sudah berada dalam keadaan baik untuk diturunkan dan tiada pemain yang mengalami kecederaan.
Ditanya samada beliau akan mengekalkan kesebelasan utama ketika pasukan negara menewaskan Turkmenistan 3-1 pada perlawanan pertama, beliau enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak mahu pemain tahu siapa yang akan turun nanti, saya hanya akan dedahkan pemain mana yang akan diturunkan beberapa jam sebelum perlawanan bermula.”
Sementara itu, pemain pertahanan negara Khuzami Piee pula berkata kemenangan menentang Turkmenistan baru-baru ini memberi motivasi yang lebih kepada setiap pemain untuk perlawanan kedua.
Walaupun tidak diturunkan pada perlawanan tersebut, Khuzami atau lebih mesra dengan panggilan ‘Jimmy’ berkata pemain perlu sentiasa bersedia walaupun tidak diturunkan.
“Memang saya nak main tetapi untuk perlawanan menentang Bahrain nanti, tak kiralah siapa yang diturunkan saya harap kami akan mampu memberikan persembahan yang baik untuk mendapat keputusan positif.”
Malaysia akan menentang Bahrain pada hari Sabtu dan akan menentang Bangladesh pada 14 Jun.