Ke mana hilangnya Boys of Straits?

22,374

Pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Turkmenistan tempoh hari, kehadiran Ultras Malaya di stadium berjaya memberi semangat buat para pemain sehingga berjaya menundukkan pasukan lawan 3-1.

Ketika perlawanan berlangsung, kesemua wakil ultras negeri-negeri dengan bangganya mempamerkan kain rentang yang tertulis sokongan dalam loghat masing-masing, tetapi hanya wakil dari Johor iaitu Boys of Straits (BOS) tidak kelihatan.


Perkara itu menimbulkan tanda tanya ke mana ‘hilangnya’ salah satu kelab penyokong bola sepak terbesar negara itu pada perlawanan yang amat penting buat negara.

Tambahan pula lebih separuh daripada pemain Harimau Malaya kali ini adalah dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pada perlawanan tempoh hari juga, tujuh daripada pemain yang terpilih membarisi kesebelasan utama merupakan pemain Harimau Selatan.

Secara logiknya pasti mereka akan lebih bersemangat untuk bersama-sama ultras negeri lain memberi sokongan bagi menaikkan lagi semangat para pemain.

Pemain JDT juga pasti sudah mengenali wajah-wajah yang sentiasa hadir memberi sokongan kepada mereka di Stadium Sultan Ibrahim, jadi sekiranya BOS juga turun ketika mereka mewakili negara, ia boleh memberi tonik tambahan buat pemain JDT.

Bahkan ultras lain seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka dan Sarawak yang tidak mempunyai wakil dalam skuad kebangsaan juga turut hadir untuk memberikan sokongan.

Disebabkan itu, pelbagai spekulasi mula timbul mengenai ketiadaan BOS pada perlawanan itu.

Ada kalangan yang mengatakan bahawa mereka ‘merajuk’ dan terasa hati kerana JDT sering menjadi kecaman penyokong kelab Liga Malaysia lain.

Namun, kehilangan BOS dalam Ultras Malaya difahamkan akibat perbezaan haluan kedua-dua pihak berkenaan.

Apa-apa pun sebabnya, penyokong harus bersatu dan menolak tepi segala perbezaan dan persengkataan apabila melibatkan negara.

Di England contohnya, umum mengetahui perseteruan yang kuat antara Liverpool dan juga Manchester United, tetapi apabila kedua-dua pasukan mewakili negara penyokong kedua-dua kelab memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi buat para pemain.

BOS juga adalah antara kelab penyokong yang mempunyai paling ramai ahli dalam Ultras Malaya sebelum ini, jadi jika mereka turut bersama-sama hadir pastinya sokongan akan menjadi lebih meriah.

Malaysia masih akan menempuh dua perlawanan dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bahrain serta Bangladesh selepas ini, dan ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon juga mengakui sokongan Ultras Malaya memberi semangat buat anak buahnya beraksi.

Diharapkan kata-kata Pan-gon boleh membuat BOS terbuka hati untuk membuat comeback selepas ini.