Kemenangan Loh Kean Yew di Kejohanan Badminton Dunia satu tamparan hebat buat BAM

215

Siapa sangka bintang badminton muda Singapura, Loh Kean Yew telah mengejutkan dunia apabila berjaya muncul juara dalam acara perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Dunia selepas menewaskan K Srikanth dari India 21-15, 22-20 dalam aksi final  yang berlangsung di Huelva, Sepanyol.

Kemenangan pemain kelahiran Pulau Pinang ini boleh dikatakan sebagai satu tamparan hebat buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana gagal mengesan bakat Loh sejak dari awal lagi.


Loh mula bermain badminton sejak dibangku sekolah dan telah mewakili negeri Pulau Pinang untuk bersaing dalam kejohanan badminton bawah 12 tahun yang mana beliau berjaya menjadi juara.

BAM yang sepatutnya aktif mengesan bakat baru gagal berbuat demikian sebaliknya Persatuan Badminton Singapura (SBA) yang berjaya mengesan potensi besar yang ada pada Loh dan telah menawarkan biasiswa penuh, dan diletakkan di Sekolah Sukan Singapura.

Pencapaian Loh menyaksikan negara Kota Singa kini sudah mengatasi Malaysia yang masih lagi ketandusan juara dunia sehingga kini.

Beliau kini menjadi satu-satunya pemain badminton di negaranya yang memenangi kejohanan berprestij itu sejak ia diperkenalkan pada 1977.

Sumber foto: BWF Facebook

Loh yang kini berada pada kedudukan ranking ke-22 dunia memberi amaran awal kepada pemain lain bahawa dia kini adalah pencabar utama bagi kejuaraan badminton selepas ini.

Terdahulu, Loh telah mengejutkan peminat badminton apabila menumpaskan juara Olimpik Tokyo 2020 dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan pertama.

Ini bukanlah kali pertama beliau membuktikan dirinya adalah salah seorang pemain badminton yang perlu diberi perhatian kerana pada tahun 2019 Loh berjaya menumbangkan juara dunia lima kali dari China, Lin Dan ketika menjuarai Master Thailand 2019.

Dengan prestasi semasa Loh ketika ini tidak mustahil buat beliau untuk mengejar ranking pemain nombor satu dunia sekaligus menjadikan Singapura sebagai salah sebuah nama besar dalam dunia badminton.