63,925 penyokong banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil

986

Seramai 63,925 penyokong hadir menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bahrain malam tadi.

Jumlah itu jauh melebihi perlawanan pertama menentang Turkmenistan yang mencatatkan 21,591 kehadiran.


Hujan lebat yang turun sejak petang tetap tidak menghalang penyokong untuk hadir membanjiri perkarangan stadium seawal pukul 3.00 petang.

Kehadiran Ultras Malaya yang memberi sokongan padu dari awal sehingga tamat permainan turut mencuri perhatian ditambah dengan tifo gergasi yang dinaikkan sebelum perlawanan bermula.

Walaupun Malaysia tewas tipis 2-1 pada perlawanan itu, penyokong tidak putus-putus bersorak sehingga tamat perlawanan.

Turut hadir pada perlawanan itu adalah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Selain penyokong Malaysia, penyokong Bangladesh dan Turkmenistan turut dilihat hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan mereka yang turun beraksi di sebelah petang.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan itu berpihak kepada Turkmenistan dengan keputusan 2-1.

Dalam pada itu, kawalan pihak polis di pintu-pintu masuk stadium amat ketat dengan pemeriksaan dilakukan terhadap setiap penyokong yang hadir dan turut merampas beberapa barang larangan.

Antara barang-barang yang paling banyak dirampas ialah rokok, vape, botol minuman dan pemetik api.

Diharap pada perlawanan terakhir nanti, kita dapat pecah rekod dengan jumlah penyokong sekali lagi.