FAM perlu berhenti fokus pada pemain warisan dan naturalisasi
Sudah tiba masanya Perbadanan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhenti mencari pemain warisan dan memberi kerakyatan kepada pemain asing (naturalisasi) yang beraksi di Liga Malaysia untuk memperkuatkan skuad kebangsaan Malaysia kerana ia sudah terbukti gagal membuahkan sebarang keputusan positif.
Sejak tiga tahun lalu, FAM rancak mencari pemain yang mahu dinaturalisasikan untuk bermain untuk Harimau Malaya dan pemain naturalisasi pertama Malaysia adalah Mohamadou Sumerah yang ketika itu cemerlang bersama pasukan Pahang (kini Sri Pahang FC).
Ketika itu, skuad negara juga sudah mempunyai tiga pemain warisan (kacukan) iaitu Matthew Davies, Corbin-Ong dan Brendan Gan.
Pada tahun lalu, pemain tinggi lampai Kosovo, Liridon Krasniqi pula menjadi pemain naturalisasi terbaru. Kemudian, penyerang sensasi Guilherme de Paula pula mendapat kerakyatan pada awal tahun lalu.
Tidak cukup dengan naturalisasi, FAM juga giat memburu pemain warisan atau pemain-pemain bola sepak di luar negara yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia dan terbaru pemain kelab Melbourne Victory iaitu Nishan Velupillay yang beraksi di Liga Australia menjadi sasaran sebagai calon baharu penyerang Harimau Malaya.
Selepas pemain mendapat status kerakyatan Malaysia, khidmat mereka tidak digunakan kerana prestasi hambar ketika menyarung jersi Malaysia dan ini adalah satu kerugian besar buat negara. Manakala pemain warisan yang bermain di luar negara pula sukar untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan skuad kebangsaan dan ini membuatkan pemainan skuad kebangsaan seperti hilang arah berikutan tiada keserasian.
FAM dilihat seperti menganaktirikan pemain-pemain tempatan yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada negara.
Negara tidak ketandusan bakat-bakat muda tetapi pihak FAM perlu lebih proaktif turun padang untuk mencari bakat baru di liga-liga kendalian FAM sendiri.
Tak perlu menagih bakat daripada pemain yang tidak pernah tinggal dalam negara, sebaliknya beri peluang kepada pemain-pemain tempatan kerana mereka ini akan bermain mati-matian demi negara tercinta. Ia sudah dibuktikan pada tahun 2010 apabila Dato’ K. Rajagopal mempertaruhkan pemain muda tempatan ketika saingan Piala AFF Suzuki yang mana kita berjaya menjadi juara selepas menumpaskan musuh tradisi Indonesia.
Untuk menaikkan semula sukan bola sepak negara, perkara yang paling penting adalah hapuskan politik dalam sukan bola sepak dan serahkan urusan bola sepak kebangsaan kepada mereka yang pakar tanpa sebarang campur tangan daripada pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda untuk kepentingan diri sendiri.
Kita sudah memasuki tahun 2021 tetapi pengurusan bola sepak negara seperti ‘zaman batu’ menyebabkan Malaysia kini bukanlah salah sebuah pasukan bola sepak yang digeruni di Asia Tenggara.
FAM patut jadikan Vietnam sebagai contoh terbaik ketika ini apabila mereka dibarisi oleh seratus peratus pemain tempatan dan kini mereka sudah menjadi gergasi di Asia Tenggara bersama Thailand.