Tiada pilihan lain selain menang besar dengan Bangladesh – Syafiq Ahmad
Penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad optimis peluang pasukan negara untuk layak ke Piala Asia 2023 masih terbuka meskipun tewas 2-1 di tangan Bahrain.
“Disebabkan kita gagal untuk mendapatkan mata pada malam ini, tiada alasan untuk kita selain menjaringkan gol yang banyak dan menang pada perlawanan seterusnya.
Kalau kita tengok, peluang negara agak besar tapi atas diri kita sendiri untuk perlawanan seterusnya,”
katanya.
Pasukan negara kini berada di tangga kedua Kumpulan E, tiga mata di belakang Bahrain yang berjaya memenangi dua perlawanan.
Syafiq dimasukkan pada babak kedua perlawanan menggantikan pemain lincah, Akhyar Rashid tampak memberi kesan menerusi beberapa hantaran merbahaya yang berjaya dilakukan meskipun gagal menembusi gawang gol lawan.
Pasukan negara berjaya melakukan kejutan apabila pemain sayap, Mohamadou Sumareh berjaya menyambut hantaran cantik yang dilakukan oleh pemain pertahanan Khuzaimi Piee dari sebelah kiri.
Namun, kegembiraan pasukan kendalian Kim Pan-gon tidak bertahan lama apabila pemain Bahrain, Ali Haram menyamakan kedudukan pada minit ke-57 sebelum Abdulla Yusuf Helal menjaringkan gol kemenangan Bahrain menerusi sepakan penalti.
“Inilah bola sepak, selagi wisel penamat belum ditiup permainan belum berakhir maknanya kita belum menang lagi.” tambah Syafiq.
Kehadiran lebih 60,000 penyokong ke stadium pada hari ini sedikit sebanyak membantu memberi semangat kepada pemain-pemain Malaysia.
Penyokong Harimau Malaya mula membanjiri perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bermula pukul 3.00pm lagi.
“Kepada penyokong, terima kasih banyak kerana sentiasa menyokong dan saya harap untuk perlawanan terakhir stadium akan penuh seperti hari ini.” kata Syafiq.
Pasukan negara perlu segera bangkit mencari rentak apabila dijadual bertemu Bangladesh pada perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia pada 14 Jun ini.
Gandingan serangan skuad negara perlu dipertajamkan semula kerana pasukan Bangladesh dikenali dengan disiplin bertahan yang baik menerusi persembahan mereka pada dua perlawanan terakhir sebelum ini.