Pakatan Turkmenistan-Bahrain mampu hancurkan peluang Malaysia ke Piala Asia

17,468

Selesai perlawanan kedua pusingan kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia kini menghuni tangga kedua Kumpulan E di belakang Bahrain.

Kedudukan ini mewajibkan pasukan kendalian Kim Pan-gon untuk mencapai kemenangan pada perlawanan terakhir menentang Bangladesh.


Selain daripada misi wajib menang, timbul satu persoalan tentang nasib pasukan Harimau Malaya jika ditakdirkan Turkmenistan melakukan kejutan untuk menang perlawanan menentang Bahrain.

Ramai yang menganggap peraturan perbezaan gol akan terus digunakan untuk menentukan pasukan yang akan layak ke Piala Asia.  

Namun, realitinya Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan menggunakan kaedah head-to-head sekiranya perkara ini terjadi.

Undang-undang yang digunakan oleh AFC untuk keseluruhan perjalanan Piala Asia 2023.

Situasi sebegini kelihatan sedikit janggal kerana ia jarang digunakan di kejohanan-kejohanan besar bola sepak dunia.  

Yang lebih menarik, ada kemungkinan untuk berlakunya ‘konspirasi’ di antara Turkmenistan dan Bahrain yang akan berentap pada sebelah petang untuk menyingkirkan Malaysia.

Untuk perkara ini berlaku, pasukan Turkmenistan perlu menang besar iaitu sekurang-kurangnya tiga gol pada perlawanan tersebut.

Kemenangan besar itu akan menaikkan kedudukan pasukan Turkmenistan dan head-to-head antara Malaysia-Bahrain akan berpihak kepada pasukan Bahrain selepas mereka menang 2-1 pada perlawanan sebelum ini – seandainya ketiga-tiga pasukan mengumpul enam mata masing-masing.

Berdasarkan ranking dan prestasi semasa, perkara ini dilihat sedikit tidak masuk akal namun tiada yang mustahil di dalam bola sepak.

Jadi, untuk menghalang situasi ini dari berlaku, pasukan kebangsaan juga perlu menang dengan Bangladesh sekurang-kurangnya 3-0 untuk berada di kedudukan yang selamat.

Apa pun yang terjadi, skuad negara perlu kekal fokus kepada perlawanan menentang Bangladesh yang dilihat mempunyai ‘senjata rahsia’ dan mampu mengancam barisan pertahanan negara menerusi set-piece dan throw-in.

Pasukan Malaysia tampak seperti berada pada kedudukan yang selesa, namun segala-galanya akan bergantung pada keputusan kesemua perlawanan Selasa ini.

Selepas kekalahan pada perlawanan tempoh hari, kemenangan sahaja yang akan terus menghidupkan peluang Harimau Malaya ke Piala Asia 2023.  

Jumlah jaringan gol yang besar amatlah ditagih bagi membantu pasukan negara untuk sekurang-kurangnya berada di dalam kedudukan Top5 daripada enam pasukan naib juara dari kumpulan yang lain.

Lima pasukan naib juara yang mempunyai mata tertinggi dari enam kumpulan pada pusingan kelayakan ini akan turut layak ke Piala Asia secara merit.

Kali terakhir pasukan negara layak ke Piala Asia secara merit adalah pada 1980, 42 tahun yang lalu.