Pemain yang kita ada ketika ini adalah yang terbaik – Kim Pan-gon

3,044

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon menegaskan bahawa pemain yang berada dalam skuad negara ketika ini adalah yang terbaik.

Pan-gon berkata demikian apabila ditanya samada skuad yang dibawa ini benar-benar yang terbaik berikutan prestasi beberapa pemain yang dipersoal oleh peminat.


“Saya percaya pemain yang berada dalam skuad ketika ini adalah yang terbaik. Mereka sangat komited dan saya percaya dengan kemampuan setiap pemain,”

katanya.

Pada perlawanan kedua menentang Bahrain Sabtu lalu, skuad Harimau Malaya tumpas 2-1 dan ramai peminat menuding jari kepada penjaga gol Farizal Marlias yang melakukan kekasaran yang tidak sepatutnya menyebabkan pasukan lawan mendapat penalti sekaligus menjadi gol kemenangan.

Pengendali dari Korea Selatan itu sebelum ini enggan mengulas lanjut mengenai prestasi pemainnya selepas perlawanan tersebut, sebaliknya berkata sebagai seorang pemain profesional mereka sepatutnya melupakan kekalahan dan fokus pada perlawanan seterusnya.

“Bagi saya tak kira menang atau kalah, sebagai pemain profesional mereka patut tahu cara untuk mengawal emosi mereka supaya mereka dapat fokus untuk perlawanan seterusnya.”

Dalam pada itu, Pan-gon mengakui pasukan Bangladesh bukanlah lawan mudah kerana dalam dua perlawanan terdahulu walaupun mereka tumpas tetapi mereka tewas dengan jumlah jaringan yang tipis.

Oleh itu, beliau menuntut pemain-pemainnya untuk mempertingkatkan kualiti permainan mereka dan kurangkan kesilapan mudah.

Malaysia akan bertemu dengan Bangladesh pada 14 Jun ini dalam perlawanan terakhir kumpulan yang mana skuad negara wajib menang sekiranya mahu layak ke pusingan akhir Piala Asia.

Sementara itu, penyerang negara Syafiq Ahmad pula perlawanan esok merupakan perlawanan yang sangat penting untuk mereka meraih kemenangan.

“Kita perlukan kemenangan, lupakan kekalahan lalu dan fokus pada perlawanan esok untuk meraih tiga mata. Kita perlu ambil peluang ini untuk buktikan kemampuan kita, tambahan pula kita bermain di laman sendiri,”

ujarnya.

Walaupun tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pada dua perlawanan terdahulu, Syafiq percaya dengan percaturan yang dilakukan oleh jurulatih.

Malah jika beliau diberikan peluang untuk turun beraksi dalam kesebelasan utama, beliau akan buktikan dirinya layak mendapat minit permainan.

Pada masa sama beliau juga berkata walaupun akan bermain dibawah tekanan berikutan mereka perlukan kemenangan untuk layak, namun beliau yakin setiap pemain yang diturunkan akan mampu memberikan persembahan yang baik.

“Apa yang penting kami perlu pamer aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri dan mahu layak ke Piala Asia secara merit.”