Kami buru 3 mata menentang Malaysia – Javier Cabrera
Ketua jurulatih pasukan Bangladesh, Javier Cabrera berkata pasukannya enggan pulang dengan tangan kosong sebaliknya berhasrat mengutip tiga mata apabila menentang Malaysia dalam perlawanan terakhir Kumpulan E dalam Kelayakan Piala Asia 2023.
Walaupun Bangladesh sudah tersingkir awal berikutan dua kekalahan berturut-turut, namun Cabrera berkata pemainnya masih bermotivasi tinggi.
“Jika dilihat dari dua kekalahan kami, kami tewas dengan jumlah jaringan yang tipis sahaja dan pemain-pemain masih lagi bermotivasi tinggi untuk perlawanan terakhir menentang Malaysia.
Kami mahu bawa pulang sesuatu (3 mata) ke tanah air dan buat penyokong Bangladesh,”
katanya.
Cabrera berkata untuk mencapai sasaran mereka itu, mereka perlu beraksi dengan konsisten dan berdisiplin sepanjang perlawanan.
Pada masa sama pengendali dari Sepanyol itu mengakui pasukan Malaysia adalah sebuah skuad yang mantap dan mereka akan cuba ‘membunuh’ perlawanan dalam tempoh 10 minit pertama.
“Perlawanan esok akan menjadi satu cabaran yang sukar buat kami, jadi kami akan fokus untuk memperbaiki segala kelemahan dalam dua perlawanan yang lalu untuk beraksi dengan lebih baik. Ia adalah peluang untuk pemain menonjolkan kemampuan mereka.”
Dalam pada itu, Cabrera juga berkata pemainnya tidak akan terkesan dengan kehadiran puluhan ribu penyokong tuan rumah pada perlawanan, malah ia akan memberikan mereka lebih motivasi untuk pamer taring mereka.
Beliau berharap agar puluhan ribu penyokong Malaysia dan Bangladesh yang menetap di sini turun membajiri stadium.
Sementara itu, kapten pasukan Bangladesh iaitu Jamal Bhuyan berpendapat sama seperti jurulatihnya iaitu mereka akan lebih teruja dengan kehadiran puluhan ribu penyokong di stadium.
“Kebanyakan pemain kami adalah pemain muda jadi mereka tidak pernah merasai suasana bermain di hadapan puluhan ribu penyokong, jadi ia akan memberikan lebih motivasi untuk beraksi dengan lebih baik lagi apabila dapat beraksi dalam keadaan stadium penuh.”
Mengakui terdapat jurang di antara pemain Malaysia dan Bangladesh dari skil individu, namun beliau yakin sebagai sebuah pasukan mereka mampu memberi saingan kepada mana-mana pasukan.
Di atas kertas Malaysia menjadi pasukan pilihan untuk menang, tetapi berdasarkan prestasi semasa Bangladesh, barisan pertahanan Harimau Malaya perlu memberi tumpuan lebih supaya tidak dikejutkan dengan serangan balas pantas lawan.
Perlawanan di antara Malaysia dan Bangladesh akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 9.00 malam.