Turkmenistan tak jangka akan berdepan laluan berliku dalam Kelayakan Piala Asia 2023
Ketua jurulatih pasukan Turkmenistan, Yazguly Hojageldyyew mengakui pasukannya tidak menjangka akan berdepan laluan berliku dalam Kelayakan Piala Asia 2023 apabila mereka kini terdesak perlukan kemenangan menentang Bahrain.
Hojageldyyew berkata demikian berikutan kekalahan mengejut kepada pasukan tuan rumah Malaysia 3-1 dalam perlawanan pertama.
“Kami tidak jangka akan berdepan situasi seperti ini kerana kami sudah membuat persiapan untuk menang setiap perlawanan.
Esok pasti akan menjadi perlawanan yang amat sukar buat kami kerana kami perlukan kemenangan ke atas pasukan yang lebih kuat iaitu Bahrain yang sudah semestinya tidak mahu keciciran mata,”
katanya.
Menurut Hojageldyyew, beliau akan pastikan pemain-pemainnya beraksi dengan lebih baik dan mahu mereka kurangkan kesilapan-kesilapan kecil yang mampu membawa padah.
Pada perlawanan pertama Turkmenistan yang berada di ranking lebih tinggi dari Malaysia telah dikejutkan dengan dua gol dalam tempoh 20 minit menyebabkan mereka gagal bangkit dalam perlawanan tersebut.
Mereka bagaimanapun kembali menghidupkan peluang mereka semula apabila berjaya menewaskan Bangladesh 2-1 dalam satu perlawanan yang cukup sengit, manakala Malaysia pula tumpas di tangan Bahrain.
Kini Turkmenistan wajib menang dengan Bahrain dan mengharapkan keajaiban Bangladesh mampu membuat kejutan dengan menewaskan pasukan tuan rumah sekiranya mereka mahu layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Dalam pada itu, tonggak utama Resul Hojayev pula mengakui Bahrain adalah sebuah pasukan yang kuat, tetapi mereka tidak akan terlalu menghormati pihak lawan.
“Bukan kami tidak mahu hormat pihak lawan, tapi kami bermain esok untuk menang dan layak ke Piala Asia.”
Malah beliau dan rakan sepasukan juga sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan pada esok dan mahu teruskan momentum kemenangan mereka.