Australia pecahkan rekod Piala Dunia, julang nama Asia di pentas tertinggi

7,656

Pasukan Australia berjaya membuktikan kemampuan mereka apabila berjaya menewaskan pasukan Peru di perlawanan play-off kelayakan Piala Dunia 2022 menerusi penentuan sepakan penalti.

Kejayaan pasukan Australia ini sekaligus mengubah tanggapan dunia tentang kemampuan pasukan Asia untuk bertanding di kejohanan berprestij seperti Piala Dunia.  


Ini juga merupakan kali pertama dalam sejarah terdapat enam pasukan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berjaya menempah slot ke pusingan akhir Piala Dunia.

Sebelum ini, lima pasukan yang terdiri daripada Jepun, Korea Selatan, Iran, Arab Saudi dan tuan rumah, Qatar terlebih dahulu menempah tiket layak ke kejohanan sukan terbesar dunia ini.

Peningkatan berterusan pasukan Asia dapat dilihat apabila jumlah pasukan dari benua ini yang layak ke pusingan akhir meningkat daripada maksimum dua pasukan berubah menjadi empat pasukan bermula dari Piala Dunia 2002.

Piala Dunia 2018 yang berlansung di Rusia merupakan kali pertama lima pasukan Asia layak ke kejohanan ini sebelum rekod itu dipecahkan oleh kejayaan Australia selaku pasukan keenam yang layak untuk Piala Dunia yang akan berlangsung pada bulan November ini.

Dalam pada itu, terdapat 1001 kisah yang berlaku di sebalik kejayaan pasukan tersebut untuk layak ke kejohanan terbesar dunia itu.

Ketua jurulatih mereka, Graham Arnold merupakan orang yang paling layak diberi pujian di atas kejayaan membawa pasukannya layak ke Piala Dunia tahun ini.

Arnold mengambil alih tugas ketua jurulatih dari Bert van Marwijk selepas kempen yang mengecewakan apabila kandas di peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2018 yang lalu.

Pengendali dari Sydney itu sering dikritik hebat oleh para penyokong pasukan negara tersebut.

Malah, sehingga ke pusingan play-off, masih ramai daripada penyokong yang mempersoalkan taktikal dan pendekatan yang digunakan oleh beliau.  

Namun, cemuhan demi cemuhan tidak langsung memberi kesan kepada pengendali tersebut yang percaya akan kemampuan beliau selaku ketua jurulatih pasukan.

Beliau berjaya membuktikan kredibiliti serta menggunakan pengalamannya dalam memimpin kejayaan pasukan tersebut.  

Tindakan beliau menggantikan ketua pasukan, Mat Ryan dengan seorang penjaga gol simpanan, Andrew Redmayne pada masa tambahan jelas menunjukkan keyakinan beliau.

Redmayne yang digelar sebagai Dancing Goalkeeper ekoran daripada gaya uniknya muncul sebagai wira apabila berjaya menepis sepakan penalti yang diambil oleh penyerang pasukan Peru, Alex Valera.

Ini merupakan kali kelima berturut-turut Socceroos melayakkan diri sejak Piala Dunia 2006 di Jerman.

Secara realistik, masih terlalu jauh untuk pasukan kebangsaan Malaysia mengiku jejak Australia layak ke Piala Dunia, namun dengan prestasi semasa yang dipamerkan, ada kemungkinan yang besar untuk pasukan negara beraksi cemerlang di kejohanan rantau Asia.

Mampukah ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon menjadi watak penting dalam memimpin revolusi bola sepak negara?

Segalanya akan bergantung kepada kemampuan anak buahnya untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit.