Helio Sousa gembira Bahrain dapat 9 mata maksimum sekaligus layak ke Piala Asia 2023

434

Ketua jurulatih Bahrain, Helio Sousa nyata berpuas hati dan gembira dengan aksi pemain-pemainnya apabila mereka berjaya menumpaskan Turkmenistan dalam perlawanan terakhir Kumpulan E sekaligus layak ke Piala Asia 2023.

Dalam perlawanan yang berlangsung pada sebelah petang, Bahrain berjaya mengesahkan kemenangan 1-0 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh penyerang bintang, Abdullah Yusuf Helal pada separuh masa pertama.


“Saya sangat gembira dengan persembahan pemain saya dan kami berjaya melengkapkan misi kami iaitu mendapat 9 mata maksimum dari tiga perlawanan.

Dengan keadaan cuaca dan padang yang agak baik membuatkan segala percaturan berjaya diterjemahkan oleh pemain. Malah penjaga gol juga berjaya menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya,”

katanya.

Menurut Sousa, walaupun sepanjang kejohanan Kelayakan Piala Asia berlangsung mereka berdepan dengan pelbagai cabaran seperti cuaca, padang dan beberapa faktor lain tetapi mereka berjaya menyesuaikan diri sekaligus mempamerkan aksi mantap.

“Selepas kelayakan ini kami akan terus memperbaiki kelemahan yang ada termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sebagai persediaan untuk kejohanan akan datang.”

Dalam pada itu, pemain Man of The Match iaitu Abdulla Yusuf turut meluahkan rasa bersyukurnya apabila misi mereka untuk menang semua perlawanan tercapai.

“Perlawanan kelayakan ini adalah satu pengalaman yang sangat baik buat saya dan rakan sepasukan. Walaupun kami berdepan pelbagai masalah sejak hari pertama tiba di sini, tetapi kami berjaya mengatasinya.

Apa yang penting hari ini kami berjaya dapat tiga mata penuh.”

Bahrain memulakan kempen Kelayakan Piala Asia dengan menumpaskan Bangladesh 2-0 sebelum menang dengan tuan rumah Malaysia 2-1 dan terakhir menang 1-0 dengan Turkmenistan.