Kejayaan ini untuk semua penyokong – Syihan Hazmi

634

Penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi mendedikasikan kejayaan Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 kepada keluarga serta penyokong yang menjadi tulang belakang beliau dan rakan-rakan.

Menurutnya kejayaan ini adalah hasil usaha semua pemain dan barisan kejurulatihan yang tidak berputus asa sehingga ke wisel penamat.


“Alhamdulillah ini semua adalah rezeki buat kami, saya tabik semua orang dalam pasukan ini yang tidak berputus asa dan bersungguh-sungguh sehingga saat akhir.

Ini semua adalah hadiah untuk keluarga dan penyokong kami semua,”

katanya.

Malaysia menewaskan Bangladesh 4-1 untuk menduduki tangga kedua Kumpulan E, sekaligus menamatkan kemarau 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit.

Perlawanan tersebut juga merupakan kap pertama penjaga gol Negeri Sembilan FC itu buat negara.

Walaupun tewas sekali pada minit ke-31, beliau kemudian mempertingkatkan aksinya dan telah berjaya mengawal gawang negara supaya tidak bocor lagi.

Skuad negara terlebih dahulu di depan menerusi penalti Safawi Rasid pada minit ke-16 sebelum Bangladesh menyamakan kedudukan pada minit ke-31 hasil jaringan Mohammad Ibrahim.

Malaysia kembali di depan tujuh minit kemudian hasil rembatan kencang Dion Cools.

Bersambung babak kedua, serangan pantas Malaysia berjaya membuahkan hasil selepas tandukan Syafiq Ahmad pada minit ke-47 menerjah gawang lawan sebelum pemain gantian, Darren Lok memastikan negara terus selesa dengan jaringan keempat pada minit ke-73.