Terima kasih kepada pasukan Liga Super dan juga TMJ kerana beri sokongan – Kim Pan-gon

4,234

Ketua jurulatih negara Kim Pan-gon melahirkan rasa terima kasihnya kepada pasukan-pasukan di Liga Super dan juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail atas sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada skuad Harimau Malaya.

Pan-gon berkata demikian apabila pasukan negara berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit selepas menewaskan Bangladesh 4-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E malam tadi (14 Jun).


“Apabila saya ambil alih pasukan Malaysia saya ada 2 misi mahu layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dan menang Piala AFF. Jika saya ada misi tapi tidak mempunyai foundation yang kuat ia tidak akan menjadi kenyataan.

Oleh itu saya ingin berterima kasih kepada pasukan-pasukan Liga Super termasuk TMJ yang sentiasa memberi sokongan penuh kepada saya. Saya hanya jurulatih kerdil dan bila saya datang sini saya minta tolong daripada semua pihak dan saya mendapat kerjasama penuh daripada semua pasukan,”

katanya.

Pan-gon enggan mengambil kredit atas kejayaannya itu kerana merasakan ia tidak akan terjadi sekiranya beliau tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, oleh itu kredit kejayaan pasukan kebangsaan ini adalah milik semua pihak yang terlibat.

Malah beliau juga tidak ketinggalan turut mengucapkan terima kasih kepada Pemain Ke-12 iaitu penyokong terutamanya Ultras Malaya yang telah memberi sokongan padu dalam ketiga-tiga perlawanan sekaligus mencetuskan satu suasana yang cukup menakjubkan.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai percaturannya dalam perlawanan menentang Bangladesh, pengendali dari Korea Selatan itu berkata beliau mahu pemainnya memberikan satu aksi persembahan dinamik dan menarik.

Beliau yang yakin dengan kemampuan pemainnya terutamanya di bahagian serangan telah mengarahkan anak buahnya untuk menyerang dari awal sehingga ke wisel penamat.

“Ketika di bilik persalinan ketika separuh masa pertama, saya tidak ada cakap apa-apa sebaliknya saya hanya meminta mereka untuk terus beraksi dengan lebih baik lagi dan beri satu permainan dinamik dan menarik buat penyokong.

Saya tahu kita mempunyai attacking power  yang bagus, oleh sebab itu saya gunakan segala yang ada untuk pastikan penyokong puas melihat aksi pasukan negara.”

Seperti beberapa perlawanan sebelum ini, skuad negara bermula dengan garang apabila kerap melakukan serangan berbahaya, namun pada minit ke-16 baru membuahkan hasil menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Safawi Rasid.

Bagaimanapun kem negara cemas seketika apabila Bangladesh menyamakan kedudukan pada minit ke-31, namun ia tidak bertahan lama apabila pemain pertahanan negara Dion Cools menjaringkan gol kedua negara yang juga merupakan gol pertamanya bersama Malaysia.

Separuh pertama tamat dengan jaringan 2-1. Masuk separuh masa kedua pasukan negara tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Syafiq Ahmad berjaya menanduk masuk bola selepas menerima hantaran cantik daripada Faisal Halim pada minit ke-47.

Penyerang Darren Lok kemudian melengkapkan kemenangan bergaya menerusi satu tapping mudah pada minit ke-73.