Kemenangan ini adalah permulaan, pasukan negara akan bertemu lawan yang lebih kuat selepas ini – Syamer Kutty
Pemain tengah negara, Syamer Kutty telah memperagakan aksi berkualiti mengemudi barisan tengah Harimau Malaya mencipta kemenangan menentang pasukan Bangladesh.
Kemenangan ini membantu pasukan Malaysia menempah tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023 bersama 23 pasukan terhebat di Asia yang lain.
“Ini merupakan sebuah permulaan, kita kena bersedia dengan lebih dan bekerja lebih keras tetapi ini merupakan langkah terbaik untuk bola sepak negara berhadapan dengan lawan yang lebih kuat.
Perasaan saya sangat seronok, saya nak ucapkan terima kasih kepada penyokong sepanjang tiga perlawanan ini,”
katanya
Syamer berjaya menghasilkan beberapa lorongan merbahaya bagi membantu barisan hadapan melakukan asakan ke arah gawang lawan.
Gandingan mantap Syamer bersama seorang lagi pemain tengah negara, Azam Azih turut berjaya mengekang pergerakan yang dilakukan oleh barisan tengah Bangladesh.
Meskipun mempunyai minit permainan yang rendah di kelab, Syamer tetap berjaya membuktikan bahawa beliau berada di kelas tersendiri dan layak dipanggil bersama pasukan kebangsaan.
Kehadiran Syamer dalam kesebelasan utama negara amatlah diperlukan ekoran daripada prestasi memberansangkan yang dipamerkan oleh beliau pada setiap perlawanan.
Sebelum ini, beliau turut berjaya mencipta jaringan pada perlawanan persahabatan menentang Brunei.
Ketua jurulatih negara Kim Pan-gon berjaya menggalas cabaran pertama beliau untuk berjaya membawa pasukan negara mencipta sejarah layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
“Kami sangat gembira dapat bina sejarah ini, lagipun saya masih ada perjalanan yang panjang untuk cuba bermain dengan cara bermain yang pelbagai dan ini merupakan pengalaman yang baik.
Pasukan ini sedang meningkat, corak sedang berubah untuk mendominasi setiap perlawanan menerusi corak permainan berintensiti tinggi.”
Taktikal yang digunakan oleh Pan-gon semakin menunjukkan impak positif menerusi keputusan yang berjaya dicapai oleh pasukan negara selepas pelantikan beliau.
Selain itu, pengalaman Syamer dan beberapa pemain yang telah beraksi di peringkat tertinggi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) FC turut menjadi antara salah satu motivasi yang dibawa ke pasukan kebangsaan.
Selepas ini, pasukan negara perlu terus bersiap sedia melakukan persiapan sebelum melangkah ke Piala Asia pada tahun depan.