Laungan Ultras Malaya turut beri semangat buat pemain saya – Ketua Jurulatih Bangladesh
Ketua jurulatih Bangladesh, Javier Cabrera memuji suasana meriah Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang ‘dicipta’ Ultras Malaya dan menyifatkan ia adalah sesuatu yang indah.
Menurutnya laungan semangat Ultras Malaya sepanjang 90 minit perlawanan turut memberi motivasi buat para pemainnya untuk bermain.
Beliau turut menafikan bahawa semangat yang ditunjukkan Ultras Malaya menyebabkan pasukannya goyah.
“Saya tak rasa laungan mereka adalah satu perkara yang negatif kerana kami juga pernah merasakan benda sama di Indonesia.
Ia adalah satu perkara yang memberi motivasi dan semangat buat pemain saya juga, jadi ia adalah satu perkara yang baik,” katanya.
Cabrera turut mengakui pasukan Malaysia adalah sebuah pasukan yang lebih baik pada perlawanan tersebut dan berhak untuk menang.
Tambahnya lagi, anak buahnya berjaya menyaingi permainan skuad Harimau Malaya sehingga separuh masa pertama berakhir tetapi kehilangan rentak pada separuh masa kedua.
Dalam pada itu walaupun menamatkan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 ini tanpa sebarang kemenangan beliau merasakan bahawa pasukan Bangladesh mempunyai ramai pemain muda berbakat untuk masa depan.
Beliau berkata selain daripada keputusan perlawanan, terdapat banyak perkara positif yang mereka boleh pelajari daripada kempen kelayakan ini.
“Kami harus teruskan berusaha dan percaya dengan apa yang kami lakukan, kami tidak boleh putus asa dengan apa yang berlaku dalam kempen ini.
“Kami juga berjaya memberi saingan kepada pasukan-pasukan besar dan skuad ini ada ramai pemain muda berbakat, jadi kami harus terus percaya.”
Beliau merasakan anak-anak buahnya telah menunjukkan peningkatan sejak beberapa bulan ini dan percaya pasukannya akan menjadi lebih baik pada masa depan.