Junior Eldstal tampil perjelas video tular di kelab malam

7,896

Pemain pertahanan negara, Junior Eldstal telah tampil untuk menjelaskan perkara sebenar selepas video tularnya di sebuah kelab malam bersama rakan sepasukan dan keluarganya.

“Saya tahu ramai salah faham dengan video tersebut terutamanya di sini (Malaysia) yang boleh memperlihatkan tidak baik, saya tidak boleh komen dengan lebih lanjut mengenai video itu tetapi terdapat pemain-pemain bukan muslim bersama.

Apabila sesuatu yang berlaku seperti ini iaitu berjauhan dengan keluarga dan rakan selama sebulan dan kemudian berjaya mengecapi kejayaan ia satu momen yang cukup bahagia untuk kami keluar dan meraikannya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pemain kacukan Malaysia-Sweden ini mengakui beliau sedar video seperti itu akan mencetuskan tanggapan yang tidak baik, tetapi beliau menjelaskan bahawa iannya hanyalah sekumpulan keluarga dan rakan meraikan kejayaan bersama.


Terdahulu satu video memperlihatkan beliau sedang berparti bersama rakan sepasukan antaranya Darren Lok dan Corbin Ong bagi meraikan kejayaan pasukan negara layak ke Piala Asia 2023.

Namun apa yang menarik perhatian ramai adalah kelibat Akhyar Rashid yang turut ada bersama yang turut memperlihatkan terdapat rokok di tangannya.

Dalam pada itu, Junior turut berkongsi kegembiraannya apabila berjaya membantu pasukan Harimau Malaya menamatkan kemarau 42 tahun layak ke Piala Asia secara merit.

“Ia adalah satu pengembaraan yang cukup manis buat kami. Selepas berkorban lebih sebulan berlatih, dengan ketua jurulatih baru, sistem permainan baru dan satu sasaran iaitu untuk layak ke Piala Asia.

Ia cukup istimewa buat kami apabila berjaya merealisasikan sasaran itu ditambah pula bermain kesemua perlawanan di laman sendiri dengan sokongan padu daripada penyokong negara.”

Sementara itu, Junior juga belum mendedahkan lagi destinasi baru beliau selepas ini apabila kontraknya bersama pasukan Chonburi FC di Thai League 1 baru sahaja tamat.

“Kita tunggu nanti,”

jawabnya ringkas.