Empat negara tuan rumah bersama Piala Asia 2007 layak ke edisi 2023 secara merit
Sejarah Piala Asia 2007 berulang kembali dimana empat negara yang pernah menjadi tuan rumah bersama iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam telah layak secara merit ke edisi 2023.
Pada edisi 2007, kesemua empat negara ini layak secara automatik selaku tuan rumah.
Tetapi hanya Vietnam layak hingga ke suku akhir manakala Malaysia, Indonesia dan Thailand sekadar peringkat kumpulan.
Piala Asia 2023 kali ini, dilihat kesemua empat negara ini mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain.
Vietnam yang berada di ranking ke-92 Persekutan Bola Sepak Dunia (FIFA) pasti memberi cabaran kepada pasukan yang lain seperti Iran, Korea Selatan, Australia, Bahrain dan Jepun pada Piala Asia edisi 2023.
Vietnam layak secara merit pada pusingan kedua tanpa perlu beraksi pada perlawanan kelayakan dilihat mampu memberi saingan sengit.
Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo dari Korea Selatan berjaya membentuk pasukannya menjadi antara pasukan digeruni peringkat Asia.
Manakala bagi Malaysia pula, sejarah 2007 menduduki tangga terakhir tanpa sebarang kemenangan pasti tidak ingin diulang.
Ketika skuad Harimau Malaya berada dibawah kendalian ketua jurulatih Norizan Bakar pada masa itu, pasukan negara tewas kesemua perlawanan dan hanya menjaringkan satu gol sahaja.
Namun berdasarkan prestasi semasa pasukan kebangsaan ketika perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini, tidak dapat dinafikan skuad kendalian ketua jurulatih baru negara iaitu Kim Pan-gon dijangka mampu memberi saingan sengit kepada mana-mana pihak lawan.
Kesemua pemain berada dalam prestasi yang terbaik malah sentiasa berusaha untuk buat yang terbaik demi memperoleh kemenangan.
Menduduki tangga ke-2 dalam Kumpulan E dengan dua kemenangan dan satu kekalahan membuktikan pasukan negara berada di landasan tepat untuk memperbaiki rekod buruk 2007.
Penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit sudah pasti tidak akan disia-siakan skuad negara.
Begitu juga dengan pasukan Indonesia yang dilatih oleh Shin Tae-yong dari Korea Selatan, dilihat mampu mencipta kejayaan nanti.
Walaupun Indonesia pada mulanya dilihat agak sukar untuk melangkah secara merit pada mulanya, namun dengan dua kemenangan telah membawa mereka layak.
Manakala buat pasukan Thailand pula, ketua jurulatihnya iaitu Alexandre Polking menyuarakan keyakinan terhadap pemain-pemainnya untuk beraksi dengan lebih baik tahun depan.
Skuad Gajah Perang memulakan kempen kelayakan mereka dengan langkah kiri apabila tewas pada perlawanan pertama tetapi mereka pantas bangkit dan berjaya menang dalam dua perlawanan terakhir sekaligus berjaya menjadi naib juara Kumpulan C.
Berdasarkan rekod keempat-empat negara ini di Piala Asia, Thailand merupakan pasukan yang mempunyai pencapaian terbaik iaitu pernah mendapat tempat ketiga pada Piala Asia 1972, manakala Vietnam pula pernah mendapat tempat keempat pada edisi 1956.
Manakala untuk Malaysia dan Indonesia pula, kehadiran mereka dalam saingan Piala Asia sebelum ini boleh dikatakan hanya sekadar pelengkap kumpulan sahaja.
Mampukah pasukan dari Asia Tenggara kembali menjadi kuasa besar bola sepak di rantau Asia? Sama-sama kita tunggu.