Latihan ala ‘askar’ akan membantu Harimau Malaya bersedia ke Piala Asia 2023

286

Kejayaan Harimau Malaya melangkah ke kejohanan Piala Asia buat kali pertama secara merit sejak tahun 1980 adalah satu perkara yang amat membanggakan seluruh penyokong setia Malaysia.

Kejayaan ini sememangnya sudah lama dinantikan oleh seluruh penyokong selepas bola sepak Malaysia melalui beberapa detik suram setelah sekian lama.


Tetapi perjuangan negara sebenarnya baru sahaja bermula dan semua pihak terutama para pemain tidak boleh dibuai dengan mimpi indah layak ke kejohanan itu.

Ketua jurulatih, Kim Pan-gon mempunyai kira-kira setahun saja lagi untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Piala Asia 2023 dengan persediaan yang mantap.

Rata-rata penyokong masih lagi ingat mimpi ngeri sewaktu kali terakhir Malaysia beraksi di kejohanan itu pada tahun 2007 apabila Malaysia, yang merupakan tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam, berada di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Apa yang lebih teruk lagi adalah skuad kebangsaan yang ketika itu dibimbing Norizan Bakar hanya berjaya menjaringkan satu gol dan bolos 12 gol.

Jika dilihat, banyak lagi yang perlu diperbaiki oleh pasukan sedia ada ini bagi menghadapi kejohanan itu, lebih-lebih lagi Malaysia diletakkan dalam Pot 4 dan pasti akan bertemu gergasi-gergasi Asia lain.

Bukan sahaja dari segi taktikal dan teknikal, malah dari segi mental juga pemain harus bersiap sedia untuk menghadapi kejohanan sebesar itu.

Mungkin Pan-gon boleh menerapkan latihan ala askar bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menguatkan lagi disiplin, mental serta kecergasan para pemain.

Lagipun kedua-dua pihak berjuang demi tanah air tercinta, cuma di pentas yang berbeza, jadi banyak perkara yang boleh dipelajari antara satu sama lain.

Malaysia harus berubah 111 peratus pada kempen Piala Asia 2023 nanti bagi memastikan negara tidak lagi dimalukan seperti kempen 2007.

Tiga perkara yang harus menjadi teras iaitu satu peratus daripada usaha pemain dan jurulatih, satu peratus adalah baik buruknya nasib atau Qada’ serta Qadar dan satu peratus lagi adalah berkat doa daripada seluruh rakyat Malaysia.

Diharapkan kesemua perkara itu akhirnya bergabung menjadi 111 peratus yang akhirnya menjadi hadiah daripada Yang Maha Esa untuk kita mempamerkan prestasi membanggakan pada Piala Asia tahun depan.

Para pemain dan jurulatih juga boleh mengambil semangat daripada nama ‘RIMAUMAS’ yang boleh diterjemahkan kepada tiga maksud iaitu ‘Rajin Ibadah Mesti Akan Untung Masuk Astral Syurga’, ‘Rahsia Istighfar Musnahkan Apasaja Ujian Menghancurkan Agenda Syaitan’ dan juga ‘Rosakkan Iblis Merantai Amukan Umat Manusia Akhir Sirah’.

Ini juga adalah salah satu perkara yang penting untuk berjaya kerana Dialah yang memberi kejayaan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Dengan kesemua elemen ini, diharapkan skuad negara dapat mencipta kejutan pada Piala Asia 2023 nanti.