Tanpa TMJ bola sepak Malaysia tak ke mana

5,199

Dunia bola sepak tanah air ketika ini berada dalam mood yang cukup baik selepas pasukan kebangsaan Malaysia mencipta sejarah selepas berjaya menamatkan kemarau 42 tahun apabila berjaya layak ke Piala Asia secara merit.

Ketika skuad Harimau Malaya pimpinan Kim Pan-gon memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dengan langkah kanan, dunia bola sepak tempatan dikejutkan dengan pengumuman oleh pemilik Johor Darul Ta’zim, TMJ yang mengumumkan pengunduran diri dari dunia bola sepak kerana mahu fokus pada urusan lain.


Pengumuman itu nyata mengejutkan ramai termasuklah Pan-gon yang nyata sedih dengan berita itu, malah ketika sidang media sebelum perlawanan kedua di antara Malaysia dan Bahrain, beliau turut cuba ‘memujuk’ TMJ supaya menarik balik keputusannya itu selain tagih sokongan baginda kepada skuad kebangsaan.

Pan-gon berkata ia adalah satu kerugian besar buat bola sepak negara jika TMJ berundur kerana baginda mempunyai semangat cintakan bola sepak yang cukup mendalam terumasuk visinya dalam memabngun dan membantu bola sepak tanah air.

Selain Pan-gon, kebanyakkan pemain kebangsaan yang juga merupakan pemain JDT turut berduka dengan pengumuman dan berharap baginda tidak berbuat demikian.

Malah, pada perlawanan terakhir skuad negara yang mana mereka mencipta sejarah layak ke Piala Asia 2023 dengan menewaskan Bangladesh 4-1, Pan-gon sekali lagi berterima kasih kepada TMJ kerana memberi sokongan penuh kepadanya dengan melepaskan pemain-pemain kelab itu untuk negara.

Pengendali dari Korea Selatan itu juga sering berhubung dengan TMJ yang mana perkara itu didedahkan sendiri oleh baginda menerusi satu posting di Instagram miliknya yang memaparkan tangkap layar WhatsApp mesej daripada Pan-gon yang memujuk baginda untuk terus kekal dalam dunia bola sepak tanah air.

Malah dalam mesejnya itu, beliau berkata jika baginda tiada bola sepak negara akan musnah tidak lama lagi.

Lebih mengejutkan apabila Pan-gon juga berkongsi senarai kesebelasan utama pemain yang akan diturunkan pada perlawanan menentang Bangladesh dengan mesej beliau dan pemainnya akan memberikan persembahan yang terbaik sambil berterima kasih atas sokongan baginda.

Sementara itu, bukan Pan-gon sahaja yang berterima kasih terhadap jasa TMJ, malah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turut sama berterima kasih kepada baginda yang telah meletakkan benchmark tinggi buat bola sepak negara.

Hamidin berkata bleiau tetap menyatakan sokongan padunya terhadap pentadbiran baginda walaupun tahu berkemungkinan besar ia akan menimbulkan persepsi lain dalam kalangan peminat bola sepak negara.

Beliau juga bangga apabila melihat semakin banyak pasukan di Liga Malaysia semakin meningkat selepas mengikut jejak langkah yang dilakukan oleh JDT.

Dengan banyak orang ‘kuat’ bola sepak negara meluahkan rasa sedih dengan pengunduran TMJ dan memujuk baginda untuk memikirkan semula keputusannya itu, adakah baginda akan membuat u-turn untuk kekal dalam dunia bola sepak? Inilah harapan seluruh penyokong bola sepak Malaysia, bukan?