Budaya ‘claim’ terus jadi toksik, rosakkan ‘mood’ peminat

12,253

Kemaraan pasukan Malaysia ke Piala Asia 2023 memberikan khabar gembira kepada seluruh peminat bola sepak negara.

Penat lelah pemain dan pihak pengurusan sepanjang kempen kelayakan akhirnya terbalas dengan pencapaian ini.


Kerjasama dari pelbagai pihak seperti kelab dan pemain turut memainkan peranan bagi merealisasikan impian para penyokong untuk menyaksikan pasukan negara layak ke Piala Asia secara merit.

Namun, keraian ini sedikit terganggu oleh budaya claim yang telah sekian lama menjadi toksik yang mencemari suasana bola sepak negara.

Baru-baru ini, tular sebuah tweet yang menunjukkan ketua jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora yang mempersoalkan penghargaan yang diberikan kepada bekas pengendali negara, Tan Cheng Hoe yang dianggap sebagai antara penyebab kepada kejayaan ini.

Tidak dapat dinafikan JDT memainkan peranan yang besar dalam meningkatkan kualiti pasukan negara dan sebilangan besar pemain kebangsaan.

Namun, kejayaan pada hari ini bukanlah terus dicapai dalam sekelip mata.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turut mengucapkan terima kasih kepada barisan pengurusan JDT atas sumbangan yang diberikan.

“Dan saya perlukan nyatakan sokongan kuat di belakang tadbir Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail) walaupun mungkin ada peminat ada persepsi lain.” kata Hamidin.

Ramai turut bersetuju dengan perubahan yang dilakukan oleh pasukan tersebut namun peranan yang dimainkan oleh kelab lain perlu diberikan perhatian yang sama di samping penghargaan yang setaraf.

Kehadiran pemain seperti Khuzaimie Piee dari Negeri Sembilan FC dan pemain Petaling Jaya City FC, V. Ruventhiran perlu diakui turut memberi impak yang besar kepada prestasi pasukan.

Di dalam kekecohan ini, terdapat dua lagi nama besar selain Cheng Hoe yang perlu diberikan penghargaan atas jasa besar mereka dalam membangunkan bola sepak negara.

Bekas ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagopal merupakan salah seorang yang bertanggungjawab dalam menyediakan asas kepada kebangkitan bola sepak negara.

Kejayaan beliau membawa pasukan negara menggapai emas di Sukan SEA 2009 serta memenangi Piala AFF 2010 kekal sebagai antara pencapaian terbaik negara sehingga ke hari ini.

Legasi tersebut diteruskan oleh seorang lagi jurulatih berpengalaman, Datuk Ong Kim Swee yang banyak berjasa kepada pembinaan pemain muda negara menerusi tanggungjawab yang dipikul beliau semasa melatih pasukan Harimau Muda sebelum ini.

Antara produk Harimau Muda yang berjaya mendapat tempat di dalam skuad kebangsaan sehingga ke hari ini adalah pemain tengah, Mohd Nazmi Faiz Mansor.  

Selain daripada itu, jurulatih berasal dari Melaka ini turut berjaya membantu pasukan negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2011, mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada pengajuran sebelum itu.

Ketiga-tiga individu ini termasuk Cheng Hoe, perlu diberikan penghargaan setara di atas pengorbanan mereka dalam menjadi nadi kebangkitan pasukan bola sepak negara.

Lebih menarik, kesemua mereka tidak langsung mengeluarkan sebarang kenyataan untuk mengaitkan mereka dengan kejayaan yang dicapai oleh pasukan kebangsaan pada hari ini.

Namun, tidak dapat disangkal bahawa usaha yang dilakukan oleh mereka sebelum ini telah berjaya.

Hasilnya boleh dilihat pada hari ini, pemain-pemain yang pernah dilatih oleh ketiga-tiga insan ini berjaya mendapatkan tempat di kesebelasan utama bukan sahaja di peringkat kelab malah ketika dipilih mewakili skuad kebangsaan.

Dari sudut yang lain, pasukan kelab juga perlu segera cakna mengambil JDT sebagai contoh dalam meningkatkan kualiti pemain.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak terlepas untuk menyatakan kegembiraan beliau.

Dalam kenyataannya itu, beliau bangga apabila sebanyak 15 pemain dan bekas pemain JDT membarisi skuad Harimau Malaya untuk Kelayakan Piala Asia 2023. 

Tidak boleh disangkal bahawa prestasi bola sepak negara akan menjadi sedikit malap tanpa kehadiran pemain-pemain utama yang berasal dari kelab ini.

Situasi ini jelas membuktikan bahawa JDT berada di kelas tersendiri dan perlu segera dicontohi oleh pasukan lain di Liga Malaysia.