Lim Teong Kim sudah lama maafkan Syed Saddiq

1,577

Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan bekas Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (NFDP), Lim Teong Kim (LTK) memberitahu beliau sudah lama memaafkan Syed Saddiq berhubung kemelut yang berlaku sehingga menyebabkan beliau dipecat dari AMD.

Ketika itu Syed Saddiq memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan (KBS) telah mendedahkan jumlah gaji yang diterima ketika Teong Kim menjadi Pengarah AMD.


“Ketika itu beliau (Syed Saddiq) ada berjumpa dengan saya dan apabila kami berjumpa saya berkata kepadanya, ‘kamu orang muda jadi saya tidak mahu ambil tindakan undang-undang terhadap kamu. Saya maafkan kamu kerana ada orang yang menggunakan kamu’.

Kalau beliau dimanipulasi itulah jadinya tapi buat apa saya nak salahkannya, dia orang muda seperti pemain-pemain saya yang mana saya sering kata kepada mereka tiada masalah untuk mereka membuat kesilapan. Itu cara saya.

Tapi kalau orang tua buat kesilapan seperti itu saya akan titik dia (ambil tindakan) kerana sebagai seorang yang sudah tua mereka pasti sudah faham,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain isu gaji yang tinggi dikatakan menjadi punca kepada pemecatannya, satu lagi isu yang turut menyumbang kepada penamatan kontraknya adalah apabila beliau gagal membawa skuad B-16 untuk layak ke Piala Dunia B-17 pada 2019.

Dalam pada itu, semalam Syed Saddiq telah tampil membidas serangan netizen yang menuding jari kepadanya apabila Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ditakungi air pada perlawanan aksi Kelayakan Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Bahrain Sabtu lalu.

Ramai yang menuduh beliau tidak menjalankan kerjanya apabila projek menaik taraf stadium yang diumumkan ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri KBS tidak dilakukan.

Dalam kenyataannya, beliau menjelaskan bahawa projek naik taraf itu tidak sempat dilakukan selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang dan beliau tidak lagi menjadi Menteri KBS.

Sepatutnya soalan itu tidak sepatutnya ditujukan kepada Syed Saddiq, sebaliknya ditujukan kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang merupakan pihak yang bertanggungjawab menguruskan stadium terbesar di Malaysia itu.

Difahamkan ketika Syed Saddiq menerajui KBS, beliau telah memperkenalkan sistem tender terbuka dan ketika itu keuntungan PSM naik 400 peratus.

Jadi persoalan yang perlu ditanya kepada PSM, mengapa tiada penyelenggaran yang dibuat terhadap padang dan juga kemudahan fasiliti di stadium?

Bukan sahaja isu padang, malah ketika perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini juga ramai penyokong tidak berpuas hati dengan penyelenggaran peparitan sehingga menyebabkan air naik di kawasan rendah di dalam stadium.

Biarpun dikritik ramai, namun PSM dilihat seolah-oleh enggan memohon maaf sebaliknya cuba menuding jari pula kepada pihak lain.

Diharap isu ini dapat diselesaikan segera kerana apa yang berlaku baru-baru ini sangat memalukan imej negara.