Jakarta International Stadium kebanggaan baru Indonesia, SNBJ bawa malu buat negara

19,013

Stadium gergasi terbaru Indonesia, Jakarta International Stadium (JIS) dilaporkan sudah siap dibina dan akan dilancarkan secara rasmi pada 25 Jun ini.

Stadium khusus untuk bola sepak dengan kapasiti sebanyak 82,000 penonton itu akan menjadi stadium dengan bumbung boleh laras berkapasiti paling tinggi di Asia dan kedua tertinggi di dunia.


Ia juga pasti bakal menjadi kebanggaan penyokong bola sepak Indonesia dan pembakar semangat baru buat pasukan bola sepak negara itu untuk beraksi dengan lebih cemerlang.

Bagi Malaysia pula, ia sepatutnya menjadi satu tamparan hebat lebih-lebih lagi selepas ‘insiden penyodok’ yang amat memalukan ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Di saat negara seteru sudah selangkah ke hadapan dengan membina stadium berkelas dunia, Malaysia masih lagi terpalit dengan isu-isu remeh seperti permukaan padang yang teruk.

Sudahlah Indonesia mempunyai Gelora Bung Karno yang lebih baik berbanding SNBJ, ditambah pula dengan stadium baru ini menunjukkan mereka semakin ke depan.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) difahamkan sudah memulakan kerja-kerja untuk mengenal pasti bahagian SNBJ yang patut dibaik pulih dan diganti.

Namun perkara itu sebenarnya sudah terlambat memandangkan reputasi negara sudah tercalar akibat insiden tersebut.

Ia juga mungkin disebabkan tekanan dan kutukan oleh netizen, jika tidak mungkin tiada tindakan langsung diambil terhadap keadaan stadium.

Pengurusan stadium yang lambat bertindak dan hanya menunggu masalah berlaku menyebabkan isu stadium dan padang di negara ini tidak selesai dari dulu lagi.

Sampai bilakah kita harus berdepan dengan isu seperti ini?

Sepatutnya kita juga sudah mempunyai satu stadium yang dikhususkan untuk bola sepak sahaja dan tidak ‘diganggu’ oleh acara-acara lain seperti konsert.

Apabila stadium digunakan untuk konsert sudah tentulah ia akan menjejaskan permukaan padang, dan penyelenggaraan terpaksa dilakukan setiap kali sesuatu konsert tamat.

Dengan segala peruntukan yang telah diberikan kerajaan untuk memperbaiki dan membaik pulih stadium sebelum ini, SNBJ sepatutnya menjadi kebanggaan seluruh warga Malaysia dan bukannya bahan jenaka negara-negara luar.