Lim Teong Kim dedah berlaku perebutan kuasa dalam NFDP

25,422

Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (NFDP) bermula pada tahun 2014 yang mana ketika itu ia dikendalikan oleh bekas pemain negara iaitu Lim Teong Kim yang bertindak sebagai Pengarah NFDP secara keseluruhan.

Teong Kim merupakan bekas jurulatih remaja di Bayern Munich selama 12 tahun telah diberi tanggungjawab besar untuk pembangunan bola sepak akar umbi, namun kemelut dalaman mula berlaku pada tahun 2016 selepas kemasukan ketua jurulatih Paris Saint-Germain Academy (PSG) iaitu Saad Ichalalene.


“Pada mula tertubuhnya NFDP ini saya dan Menteri Belia dan Sukan (KBS) ketika itu iaitu Khairy Jamaluddin (KJ) bekerjasama dengan baik, tetapi apabila beliau sibuk dengan kerja lain beliau telah memberikan tanggungjawab itu kepada orang lain iaitu Saad Ichalalene.

Saya tidak tahu apa yang dia beritahu KJ ketika itu. Mungkin dia memanipulasi, ini kerana dari segi isu teknikal seperti pemilihan jurulatih dan pemain ia dibawah kuasa saya, tetapi tiba-tiba Saad bersama barisan kejurulatihan lain datang dan saya difahamkan mereka ini akan menjadi jurulatih akademi-akademi di seluruh negara.

Tetapi tiba-tiba Saad mengambil alih skuad B-13 dan B-14. Jadi saya pun kata jika dah mereka buat keputusan begitu saya cakap okay sajalah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, ini adalah perkara sebenar yang berlaku dalam NFDP di mana sebelum ini tidak pernah didedahkan kepada umum.

Dalam pada itu, Teong Kim juga memaklum beliau bersama Raja Muhammad Haikarl telah melatih pemain dari batch 2002 dan 2003 selama lima tahun telah memperlihatkan keberhasilan apabila sebanyak lapan pemain telah menjadi tonggak utama dalam skuad B-19 yang beraksi di Piala AFF B-19.

Terdahulu dalam temubual eksklusif bersama Harimau Malaya, pengendali berusia 59 tahun itu juga berkata beliau terbuka untuk berunding sekiranya khidmatnya diperlukan untuk kembali menabur bakti di tanah air.

Malah beliau juga memberi bayangan ingin mengendalikan skuad B-23 tahun negara berikutan hampir kesemua pemain dalam skuad Harimau Muda itu adalah anak didiknya.

Keinginannya itu disuarakan apabila ketua jurulatih B-23 iaitu Brad Maloney dikatakan bakal disingkirkan selepas kegagalan skuad itu di dua kejohanan Sukan SEA Hanoi dan Piala Asia B-23 baru-baru ini.