Keputusan FAM untuk fokus pada pemain warisan disambut baik
Selepas kegagalan program pemain naturalisasi, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini mula memberi tumpuan kepada pemain warisan pula.
Tidak dapat dinafikan sejak program naturalisasi ini diwujudkan penyokong berbelah bahagi yang mana ada yang menyokong dan selebihnya tidak bersetuju dan ia sudah jelas ternyata bahawa program tersebut telah gagal apabila pemain-pemain yang dinaturalisasikan tidak memberi impak langsung kepada skuad Harimau Malaya.
Bagaimanapun pemain warisan atau pemain yang mempunyai darah kacukan pula lebih menyerlah, malah dilihat bermain mati-matian untuk negara dan ia telah terbukti apabila mereka telah berjaya membantu pasukan negara untuk layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas 42 tahun.
Antara pemain warisan yang menjadi tonggak skuad kendalian Kim Pan-gon adalah Darren Lok, La’Vere Corbin-Ong, Matthew Davies, Junior Eldstal dan Dion Cools.
Sepanjang saingan Kelayakan Piala Asia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) baru-baru ini, aksi yang dipamerkan oleh kelima-lima pemain ini sangat menakjubkan.
Malah Man of the Match ketika perlawanan kumpulan terakhir menentang Bangladesh iaitu Cools dalam sidang medianya juga mengakui tidak menyesal mewakili Malaysia, malah beliau sanggup mati untuk negara.
Semangat itu tidak dapat dilihat dalam kalangan pemain naturalisasi dan ia telah membuatkan penyokong berang dengan aksi hambar mereka.
Menyedari kualiti dan semangat patriotik yang dipamerkan pemain warisan, Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin berkata beliau berkemungkinan mahu mendapatkan lebih banyak khidmat pemain warisan untuk diserap ke dalam skuad negara.
Kenyataan itu nyata disambut baik oleh penyokong kerana mereka sendiri sudah melihat sendiri perbezaan persembahan di antara pemain warisan dan naturalisasi.
Hamidin bagaimanapun berkata pemilihan pemain warisan ini tidak akan dibuat secara ‘tangkap muat’ sahaja, sebaliknya pemain yang terpilih perlu mencapai standard yang dimahukan oleh Pan-gon.
Ini bagi memastikan pemain yang terpilih akan memberi aksi terbaik demi negara tercinta.
Disebalik kejayaan layak ke Piala Asia, FAM sebenarnya masih ada banyak lagi perkara yang perlu dibuat bagi meningkatkan kualiti bola sepak tanah air untuk mencapai sasaran menjadi ‘Raja Bola’ di Asia Tenggara dan juga pesaing hebat di peringkat Asia.
Diharap FAM dapat meneruskan momentum kejayaan ini bukan sahaja di peringkat senior tetapi juga skuad B-23 dan skuad remaja lain.
Pada masa sama mereka perlu memberi tumpuan penuh kepada program pembangunan akar-umbi bagi memastikan negara sentiasa melahirkan pemain-pemain berkualiti dan tidak ketandusan bakat.