Siapakah di antara ‘Super-six’ ini akan dipancing BG Pathum?
Selepas pasukan kebangsaan berjaya mencipta sejarah apabila menamatkan kemarau 42 tahun layak ke Piala Asia 2023 secara merit, ia telah membuka mata ramai mengenai kualiti pemain Malaysia.
Beraksi dalam Kumpulan E, skuad Harimau Malaya berjaya menjadi naib juara selepas dua kemenangan dan satu kekalahan.
Kejayaan itu nyata telah membuka banyak mata kelab bola sepak serantau mengenai kualiti pemain-pemain kendalian Kim Pan-gon ini terutamanya pemain barisan hadapan.

Terbaru terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa kelab gergasi dari Thai League 1 iaitu BG Pathum United berminat untuk mendapatkan dua pemain skuad negara.
Bagaimanapun tiada nama pemain yang disebut oleh BG Pathum sebaliknya The Rabbits hanya mengatakan dua pemain itu adalah tonggak utama yang bermain di bahagian kiri dan kanan.
Khabar ini boleh dikatakan sebagai salah satu kejayaan buat bola sepak negara kerana sedia maklum kualiti liga di Thailand adalah jauh lebih baik dari Liga Malaysia, jadi amat jarang sekali kita melihat pemain tempatan beraksi di negara jiran itu.
Jika desas-desus ini menjadi kenyataan, dua pemain yang dipilih nanti akan menjadi pemain kedua dan ketiga tempatan yang bermain di BG Pathum kerana sebelum ini penyerang veteran negara, Norshahrul Idlan Talaha pernah bermain di sana selama semusim.
Persoalannya kini, siapakah pemain yang dimaksudkan itu? Ada beberapa nama yang dilihat berpotensi menjadi pilihan kelab tersebut.
Terdapat tiga nama pemain untuk setiap bahagian iaitu kiri dan kanan yang cukup berpotensi.
Untuk bahagian kiri negara Faisal Halim (Mickey), Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad adalah pemain yang sering mendominasi di bahagian kiri.

Mickey dan Akhyar merupakan dua tonggak yang cukup berbahaya di bahagian kiri dengan larian-larian pantas selain kemampuan mereka menggelecek beberapa barisan pertahanan sebelum membuat hantar lintang atau mereka sendiri juga mampu melepaskan rembatan ke gawang gol.
Di bahagian sayap kiri, Pan-gon tidak mempunyai pemain pilihan sebaliknya sering membuat penggiliran di antara Mickey dan Akhyar kerana kedua-dua mereka ini mampu bermain dalam kesebelasan utama.
Mungkin ramai akan berkata Syafiq bukan bermain di posisi kiri sebaliknya beliau adalah penyerang. Tetapi kalau melihat dalam perlawanan lalu, Syafiq dilihat akan bermain berat di sebelah kiri sekiranya Pan-gon menggunakan dua penyerang.

Tetapi adakah mereka mahu berhijrah? Adakah kelab mereka akan lepaskan pemain tonggak mereka? Semuanya bergantung kepada situasi semasa.
Untuk Mickey, kontraknya bakal tamat tidak lama lagi tetapi pasukannya Terengganu FC telah menawarkan kontrak lanjutan tetapi sehingga kini beliau masih lagi belum membuat keputusan untuk kekal atau tidak, jadi peluang untuk berhijrah itu masih ada.
Manakala untuk Akhyar dan Syafiq pula rasanya kedua-dua pemain ini berkemungkinan tiada masalah untuk berhijrah dari kelab mereka Johor Darul Ta’zim (JDT) tetapi bukan secara tetap sebaliknya secara pinjaman.
Ini kerana kedua-dua pemain ini bukanlah tonggak utama JDT, jadi sudah pasti kelab boleh meminjamkan mereka ke pasukan lain jika mereka inginkan minit permainan.

Syafiq pada awal musim telah minta dirinya dipinjamkan kepada pasukan Kedah Darul Aman FC untuk mendapatkan minit permainan dan ia telah membuahkan hasil apabila beliau kembali mendapatkan rentak.
Namun susulan kontroversi membabitkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan pemilik JDT iaitu TMJ, tempoh pinjaman Syafiq telah dipendekkan dari setahun kepada enam bulan sahaja.
Jadi Syafiq dijangka tidak akan melepaskan peluang itu sekiranya ada kelab lain yang berminat untuk mengambilnya.
Manakala Akhyar pula sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama JDT dan minit permainannya sangat kurang, jadi jika beliau mahu beraksi, berhijrah adalah pilihan yang tepat.
Sementara itu, untuk bahagian kanan pula antara nama yang dilihat berpotensi adalah Azam Azih, Safawi Rasid dan juga Arif Aiman.
Pemain Sri Pahang FC, Azam Azih sebelum ini dikatakan bakal berhijrah ke pasukan lain tetapi Sri Pahang menafikan perkara tersebut kerana Azam masih mempunyai kontrak bersama mereka.
Tetapi jika Azam dapat tawaran bermain di liga luar negara rasanya Sri Pahang tidak akan keberatan untuk melepaskan pemain itu melebarkan lagi kariernya yang mana pasukan itu juga akan mendapat reputasi sebagai sebuah pasukan yang mampu melahirkan pemain yang cukup berkualiti.

Untuk Safawi pula ada kemungkinan beliau boleh berhijrah secara pinjaman kerana ketika ini di JDT beliau tidak lagi menjadi pilihan ketua jurulatih Benjamin Mora sebagai kesebelasan utama yang mana posisinya kini menjadi milik pemain muda Arif Aiman.
Safawi juga sebelum ini pernah dipinjamkan ke sebuah kelab di Portugal iaitu Portimonense SC untuk beberapa bulan sahaja sebelum kembali ke JDT, jadi ini adalah peluang terbaik untuk beliau buktikan kemampuannya di liga luar negara sekali lagi.
Bagaimanapun untuk Arif pula peluang untuk melihat beliau beraksi di liga luar negara tampak agak tipis berikutan Mora sendiri pernah membuat kenyataan bahawa pemain sayap itu masih lagi belum bersedia untuk bermain di luar negara.
Tambahan pula beliau kini menjadi tonggak utama JDT yang mana Arif beraksi dengan begitu baik sekali ketika JDT bersaing dalam AFC Champions League (ACL) baru-baru ini.
Khidmat pemain muda itu pasti akan ditagih untuk membantu pasukan menghadapi pusingan 16 (kalah mati) ACL yang akan berlangsung pada Ogos depan.
Jadi siapa agaknya dalam kalangan enam pemain yang akan menjadi pilihan BG Pathum? Siapa pun, saingan untuk merebut tempat di BG Pathum, tidak boleh dikirakan senang.
Untk rekod, antara nama besar yang kini di dalam pasukan BG Pathum termasuk adik-beradik Singapura, Ikhsan dan Irfan Fandi, pemain kebangsaan Thailand Sarach Yooyen, Teerasil Dangda, Jakkapan Praisuwan dan bekas penyerang sensasi JDT, Diogo Luis Santo dari Brazil.