Pemain yang dulu nak wakili England, Iraq kini berminat main untuk Malaysia – Datuk Ong Kim Swee

13,827

Bekas ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee melihat kejayaan skuad negara mara ke Piala Asia 2023 berjaya membuka hati lebih ramai pemain-pemain warisan negara untuk mewakili Malaysia

Beliau melihat perkara itu adalah sesuatu yang positif tetapi berpendapat bahawa ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon harus diberi kuasa untuk menentukan siapa yang sesuai untuk menyarung jersi Harimau Malaya.


Menurut pengendali Sabah FC itu lagi, tiada masalah sekiranya lebih ramai pemain warisan dan juga naturalisasi diambil tetapi tidak boleh secara tangkap muat.

“Kita tengok sekarang ni ramai pemain yang dulunya nak mewakili negara lain seperti England dan Iraq, kini berminat untuk mewakili Malaysia.

Bagi saya perkara itu tiada masalah, cuma kebebasan haruslah diberikan kepada barisan kejurulatih untuk menapis siapa yang benar-benar layak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau melihat kesungguhan yang ditunjukkan para pemain Harimau Malaya ketika kempen Kelayakan Piala Asia 2023 tempoh hari begitu luar biasa dan merupakan faktor utama mereka berjaya melangkah ke kejohanan itu.

Menurutnya beliau sudah lama tidak melihat perkara itu dalam diri para pemain negara dalam kejohanan-kejohanan sebelum ini.

Pada masa yang sama, beliau berkata pendedahan awal pemain-pemain negara di kejohanan antarabangsa sebelum ini amat bermakna dan memberikan mereka pengalaman di pentas yang tinggi.

“Ramai pemain yang beraksi atau berada dalam pasukan kebangsaan kali ini mereka telah didedahkan dalam kejohanan peringkat tinggi, seperti Matt Davies, Syamer Kutty, Azam Azih, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Mereka ini telah bermain bukan sahaja dengan pasukan remaja di peringkat kelayakan atau di Piala Asia B-23 tetapi mereka juga bermain menentang kelab-kelab ternama di AFC Champions League (ACL).

Jadi ini memberi mereka pengalaman dan pendedahan kepada corak latihan serta perlawanan berintensiti tinggi.”

Tambah beliau, perkara sama akan dilihat pada skuad B-23 negara yang pulang awal dari kejohanan AFC B-23 di Tashkent, Uzbekistan tempoh hari.

Kim Swee berkata walaupun mereka gagal melangkah jauh dalam kejohanan itu, beliau percaya mereka pulang dengan pengalaman berharga dan akan bangkit pada kejohanan selepas ini.

Menurutnya, pengalaman yang ditimba para pemain itu akan menjadi aset buat mereka apabila mewakili skuad senior selepas ini.