Tan Cheng Hoe tiada apa nak komen mengenai kejayaan Harimau Malaya ke Piala Asia 2023

17,855

Sejurus pasukan kebangsaan berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023, timbul budaya ‘claim’ yang mahu mengambil kredit atas kejayaan Malaysia menamatkan kemarau 42 tahun layak secara merit.

Namun dalam banyak-banyak ‘claim’ yang dibuat, kredit kepada bekas ketua jurulatih negara iaitu Tan Cheng Hoe tidak boleh dilupakan kerana beliau dikatakan memainkan peranan besar sekalu ‘pencetus’ kepada kejayaan yang dicapai ketika ini.


Ini kerana berdasarkan pemilihan pemain yang dibuat oleh ketua jurulatih baru iaitu Kim Pan-gon, hampir kesemua pemain asal dikekalkan dengan hanya penambahan beberapa muka baru sahaja dan juga corak taktikal yang berbeza.

Harimau Malaya menghubungi Cheng Hoe bagi mendapatkan komen beliau mengenai prestasi cemerlang skuad negara.

“Minta maaf, saya tiada apa-apa nak komen. Terima kasih,”

jawabnya ringkas dan jelas kepada Harimau Malaya.

Pada awal tahun lalu, dunia bola sepak gempar apabila Cheng Hoe mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai ketua jurulatih selepas kegagalan pasukan negara di saingan Piala AFF.

Ketika itu pelbagai isu dan kontroversi timbul, tetapi Cheng Hoe kekal tenang dan akhirnya ambil keputusan letak jawatan lebih awal walaupaun sebelum itu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan sebarang keputusan akan dibuat selepas laporan bedah siasat kegagalan pasukan negara di Piala AFF lengkap.

Sehingga kini Cheng Hoe masih lagi berehat dari dunia bola sepak dan tidak ada khabar berita mengenai dirinya kembali dalam masa terdekat ini.

Untuk rekod, sejak dilantik sebagai ketua jurulatih daripada Nelo Vingada pada Disember 2017, beliau telah mengendalikan 40 perlawanan skuad negara.

Dalam 40 perlawanan, skuad negara merekodkan 21 kemenangan, 5 seri dan 14 kekalahan sepanjang lima tahun mengendalikan pasukan itu.

Ramai penyokong yang rindu untuk melihat kelibat Cheng Hoe di tepi padang tetapi sehingga kini masih tidak tahu bilakah beliau akan kembali memeriahkan bola sepak tanah air.