Percaturan di saat-saat akhir untuk hadapi Piala AFC bakal membuahkan hasil? Atau sebaliknya?

3,537

Selepas kejayaan skuad kebangsaan Malaysia dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2023, kini tiba masa untuk pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pula untuk meneruskan kesinambungan kejayaan apabila Sang Kenari akan memulakan kempen Piala AFC pada 24 Jun ini.

Kedah memulakan kempen saingan Liga Super dengan langkah kanan apabila berjaya menang dalam tiga perlawanan awal, namun prestasi mereka secara tiba-tiba merosot dan ia telah menimbulkan kebimbangan penyokong.


Seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, Kedah kemudian berdepan masalah kecederaan dua tonggak utama iaitu Jang Suk-won yang terpaksa bersara dan Dennis Buschening mengalami kecederaan yang perlukan masa yang lama untuk pulih.

Situasi seperti tidak menyebelahi skuad kendalian Aidil Sharin Sahak berikutan mereka kesuntukan masa untuk memperkuatkan pasukan sebelum terbang ke Bali, Indonesia.

Bagaimanapun mereka berjaya melakukan rombakan apabila membawa masuk beberapa pemain yang dijangka mampu membantu pasukan iaitu Akmal Zahir dari Melaka United FC, Mahmoud Al-Mardi dari Al-Muharraq dan Sanrawat Dechmitr dari Ratchaburi Mitr Phol.

Dua pemain baru iaitu Akmal dan Sanrawat telah pun turun beraksi dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini tetapi Al-Mardi belum lagi sempat untuk beraksi bersama rakan sepasukan berikutan beliau baru sahaja menandatangani kontrak sehari sebelum pasukan terbang ke Bali.

Di atas kertas, sudah semestinya pasukan Hijau Kuning ini dilihat antara pasukan yang kurang membuat persiapan berikutan masalah yang dihadapi, tetapi dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku.

Walaupun Kedah dapat juga mempersiapkan skuad untuk kempen Piala AFC, tetapi persoalan yang timbul dalam kalangan peminat adakah percaturan disaat-saat akhir yang dilakukan oleh Aidil akan membuahkan hasil atau sebaliknya.

Kedah dijangka akan menguatkan bahagian tengah mereka dengan tiga import iaitu Dechi Marcel, Sanrawat dan Mahmoud yang mana ketiga-tiga pemain ini adalah pemain di posisi tengah.

Berdasarkan ‘pembelian’ pemain baru ini, ternyata pengendali dari Singapura itu mahu mengukuhkan bahagian tengah yang ketika ini sangat ‘longlai’ dan menyumbang kepada bolos yang banyak dalam saingan Liga Super.

Diharap dengan kemasukan pemain-pemain baru ini, ia akan memberi dimensi baru dalam corak permainan Kedah yang mana bukan penyokong pasukan itu sendiri yang menyokong tetapi juga penyokong lain juga kerana pasukan dari utara itu akan mewakili Malaysia.

Kedah telah diundi dalam Kumpulan G yang mana mereka akan membuka tirai dengan menentang tuan rumah iaitu Bali United pada 24 Jun ini.

Pada 27 Jun pula Kedah akan bertemu dengan Kaya FC dari Filipina dan pada perlawanan terakhir mereka akan menentang Visakha FC dari Kemboja pada 30 Jun.

Dengan situasi pasukan Kedah ketika ini, mereka dijangka bakal berdepan laluan berliku terutamanya apabila menentang pasukan Bali United yang merupakan juara Liga 1 Indonesia dan mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri.

Apa sahaja boleh berlaku dan Kedah sememangnya dikenali sebagai sebuah pasukan yang mampu melakukan kejutan dan ini bukanlah kali pertama mereka beraksi di pentas Piala AFC.

Pencapaian terbaik Kedah dalam saingan Piala AFC ini adalah pada tahun 2008 apabila mereka berjaya layak ke suku akhir sebelum tumpas di tangan Al-Muharraq.

Itu semua sejarah yang tidak perlu lagi diungkitkan kerana penyokong tidak mahu bercerita mengenai sejarah lama tetapi mahu pasukan cipta sejarah baru.

Selain Kedah, sebuah lagi pasukan dari Malaysia iaitu KL City FC juga akan beraksi di Piala AFC yang mana mereka akan menjadi tuan rumah.

Tinggi harapan penyokong Malaysia untuk melihat kedua-dua pasukan ini mempamerkan aksi hebat sepanjang kempen Piala AFC kerana ia bukan sahaja akan membantu pasukan mereka sendiri tetapi juga demi mengharumkan nama negara.