‘Post mortem’ FAM sekadar wayang atau benar-benar mahukan perubahan

177

Susulan penyingkiran awal pasukan Malaysia di saingan Piala AFF 2020 yang berlangsung di Singapura telah mencetuskan kemarahan peminat yang mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan sesuatu dengan segera demi menyelamatkan pasukan bola sepak negara yang kini berada dalam prestasi buruk.

FAM tidak mengambil masa lama apabila telah membuat kenyataan media semalam dengan berkata pihak FAM akan bertanggungjawab ke atas kegagalan skuad Harimau Malaya dan satu laporan ‘post-mortem’ atau bedah siasat dan analisis lengkap mengenai prestasi skuad kendalian Tan Cheng Hoe sepanjang kempen di Kota Singa kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dalam masa terdekat.


Keputusan untuk membuat laporan ‘post-mortem’ tersebut diarahkan sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, bagaimanapun tindakan terbaru FAM ini sendiri tidak mendapat sambutan baik daripada peminat Harimau Malaya sendiri.

Mengapa ia tidak disambut baik oleh peminat? Ini kerana persoalan yang menjadi tanya peminat adalah adakah laporan ‘post-mortem’ ini hanyalah satu wayang untuk memberi gambaran bahawa FAM buat kerja atau benar-benar mahu pulihkan bola sepak negara.

Setiap kali pasukan Harimau Malaysia mempamerkan aksi hambar dalam mana-mana kejohanan, pasti FAM akan mengeluarkan kenyataan akan sediakan laporan ‘post-mortem’ pasukan, bagaimanapun ia kemudian sunyi sepi dan tiada sebarang perubahan yang benar-benar membantu pasukan kebangsaan.

Kali terakhir laporan ‘post-mortem’ dari FAM adalah ketika prestasi buruk skuad negara Jun lalu ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022, dan antara isu yang hangat diperkatakan ketika itu adalah sumbangan pemain naturalisasi seperti Guilherme de Paula, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.

Bagaimanapun laporan ‘post-mortem’ itu dibuat seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ kerana tiada sebarang tindakan atau perubahan yang berlaku sebaliknya prestasi bola sepak tanah air semakin merudum dan tidak memperlihatkan langsung tanda-tanda positif.

Adakah laporan terbaru di saingan AFF akan benar-benar akan ada perubahan besar berlaku dalam dunia bola sepak tanah air? Atau FAM akan masih berada di takuk lama.