Atlet angkat berat dan isu doping berpisah tiada

335

Sukan angkat berat negara merupakan antara sukan yang paling kerap dikaitkan dengan masalah doping dan terbaru Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) telah membuat keputusan untuk menggantung dua atlet angkat berat negara, Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar dan Muhammad Ikram Haikal Mohd Zuari selama empat tahun berkuatkuasa 16 Julai lalu selepas kedua-dua mereka positif ujian doping.

Penggantungan kedua-dua atlet itu diumumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan yang menyatakan hukuman itu selaras dengan peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 dan Kod Anti-Doping Dunia 2021.


Azroy dan Ikram tidak akan dapat beraksi dalam sebarang sukan sehingga 15 Julai 2025. Bagaimanapun kedua-dua mereka boleh mengemukakan rayuan secara bertulis terhadap keputusan ini kepada pihak ADAMAS dalam tempoh dua puluh satu hari daripada tarikh surat pemaklumanan keputusan.

Pada tahun 2018 Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) telah menggantung lima atletnya selepas ujian doping positif, dan masalah doping dalam kalangan atlet angkat berat masih lagi berterusan sehingga kini.

Susulan kontroversi kes doping terbaru ini PABM dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah membubarkan skuad angkat berat sedia ada membabitkan empat jurulatih dan 13 atlet terlibat ditamatkan kontrak November lalu.

Lebih memalukan apabila Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) tidak membenarkan atlet angkat berat Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini berikutan atlet negara mencatat jumlah kes doping yang tinggi.

Isu doping ini adalah sesuatu yang bukan sahaja mencalarkan imej sukan Malaysia di mata dunia, tetapi ia memberi gambaran dan persepsi yang tidak baik untuk atlet-atlet baru menceburi dunia angkat berat ini.

Pihak PABM dan MSN perlu bertindak dengan proaktif bagi memastikan atlet-atlet angkat berat negara bebas dari sebarang kes doping kerana ia adalah perkara yang sangat memalukan negara sekiranya pingat kemenangan ditarik balik berikutan kes doping seperti yang berlaku pada Sukan Komanwel di Gold Coast.

Sukan angkat berat merupakan antara sukan yang sering menyumbang pingat buat kontinjen negara, oleh itu sangat besar harapan peminat untuk melihat atlet angkat berat mencapai kejayaan yang akan mengharumkan nama negara.