Nguyen Quang Hai enggan sambung kontrak dengan Hanoi FC kerana mahu main di liga Eropah
Pemain bintang pasukan kebangsaan Vietnam, Nguyen Quang Hai dilaporkan menolak tawaran kontrak lanjut dari kelabnya Hanoi FC kerana mahu bermain di liga Eropah.
Pemain lincah berbadan kecil yang berusia 25 tahun itu dikhabarkan akan menyertai kelab yang bermain di Ligue 2 di Perancis, FC Metz.
Quang Hai dikatakan sudah menyelesaikan proses rundingan kontrak dan kini sedang menunggu pemeriksaan medikal sebelum menandatangani kontrak.
Tidak dapat dinafikan Quang Hai merupakan tonggak utama dalam revolusi bola sepak Vietnam di bawah kendalian pengendali dari Korea Selatan, Park Hang-seo dan merupakan tonggak utama kelab terbesar Vietnam, Hanoi FC.
Beliau merupakan pemain paling berjaya dalam sejarah bola sepak Vietnam apabila berjaya memenangani hampir kesemua gelaran kebangsaan dan serantau termasuk V-League, National Cup, Vietnam Super Cup, Vietnam Golden Ball, AFF Cup, pingat emas Sukan SEA dan pingat perak Piala Asia B-23.
Quang Hai mengecapi kesemua kejayaan itu ketika beliau berusia bawah 25 tahun dan ini merupakan sesuatu yang luar biasa.
Enggan berpuas hati dan mahu terus memajukan diri dalam dunia bola sepak membuatkan beliau sanggup tolak kontrak lanjutan Hanoi FC yang sememangnya paling lumayan di Vietnam demi menimba pengalaman dan bermain di liga tertinggi di Eropah.
Mentaliti pemain bola sepak seperti Quang Hai perlu menjadi ikutan kepada pemain-pemain muda lain dari rantau Asia Tenggara termasuk di Malaysia sendiri apabila kebanyakkannya lebih selesa bermain di negara sendiri kerana tawaran gaji yang lumayan walaupun tidak mendapat minit permainan.
Pemikiran ‘tak main tak apa janji setiap bulan gaji masuk’ dan ‘seronok melihat rakan-rakan main’ adalah satu pemikiran toksik yang akan menyebabkan bola sepak negara musnah sekiranya ia tidak diatasi segera.
Lihat sahaja pemain tempatan seperti Luqman Hakim dan Hadi Fayyadh yang masing-masing tekad untuk bermain di liga luar negara iaitu di Belgium dan Jepun. Walaupun gaji yang ‘selebat’ di negara sendiri, tetapi kerana mahukan pengalaman dan tingkatkan tahap permainan, mereka sanggup berhijrah.
Dalam pada itu, Quang Hai mempunyai peluang yang cukup cerah untuk beraksi dalam skuad utama Metz berikutan rombakan besar-besaran dalam pasukan Metz selepas mereka tersingkir dari Ligue 1 musim lalu.
Mampukah Quang Hai merebut posisi sebagai pemain utama Metz di bawah kendalian jurulatih baru nanti? Semestinya ini harapan semua peminat bola sepak Asia Tenggara.