Inisiatif kerajaan petanda masa depan cerah untuk e-sukan negara
Cadangan pengecualian cukai pendapatan ke atas wang hadiah kemenangan yang diperoleh oleh atlet e-sukan negara sedang giat diusahakan.
Kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kewangan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri menunjukkan bahawa sukan ini semakin mendapat tempat.
Kolaborasi tiga badan ini membuktikan komitmen yang diambil oleh kerajaan bagi meningkatkan kualiti e-sukan negara.
Sebelum ini, sebanyak RM20 juta telah diberikan kepada sukan ini menerusi Bajet 2022 yang telah diumumkan oleh kerajaan.
Sokongan sebegini mampu menjadi pemangkin dalam meningkatkan mutu e-sukan yang telah menjadi antara cabang sukan yang terkenal di mata dunia.
Peningkatan jumlah peminat di dalam negara terutamanya selepas pandemik Covid-19 memberi petanda positif terhadap perkembangan sukan tersebut.
Bantuan berbentuk kewangan akan menjadi pendorong terkuat bagi atlet untuk terus mempertingkatkan kemampuan mereka bersaing di peringkat antarabangsa.
Sama seperti sukan yang lain, bidang e-sukan memerlukan dana yang besar bagi menyediakan kemudahan seperti server, jaringan Internet dan keperluan lain yang akan digunakan untuk bermain.
Fasiliti yang lengkap akan membantu atlet negara untuk mendekatkan lagi jurang yang wujud dengan negara serantau yang lain seperti Indonesia dan Filipina.
Ketiadaan server menjadi antara penghalang terbesar kepada kejayaan atlet negara di dalam acara ini.
Sebagai contoh, Malaysia merupakan antara negara yang tidak mempunyai server untuk permainan FIFA Online 4 (FO4) sehingga ke hari ini.
Situasi ini menjejaskan persembahan pasukan FO4 negara, skuad eRimau pada aksi di temasya Sukan SEA Hanoi yang hanya berjaya membawa pulang pingat gangsa.
Oleh itu, inisiatif seperti ini akan mampu membantu dalam mewujudkan prasarana yang diperlukan oleh kesemua organisasi yang bertanggungjawab menguruskan sukan ini.
Pada masa yang sama, perkara ini mampu menjadi motivasi kepada ibu bapa bagi memberi sokongan kepada anak-anak mereka yang mempunyai potensi besar dalam dunia e-sukan yang sebelum ini dilihat sebagai sekadar permainan yang membuang masa.
Usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini mampu membuka mata ibu bapa tentang peluang besar yang dihidangkan oleh sukan ini dan bukan hanya sekadar untuk content YouTube semata-mata.
Ramai belia di Malaysia mempunyai kemahiran dan minat yang mendalam untuk menceburi bidang e-sukan namun dihalang sekerasnya oleh keluarga sehingga mereka terpaksa melupakan hasrat tersebut.
Ini juga menjadi antara penghalang kepada usaha menyediakan barisan pelapis yang mampu memberi saingan di kejohanan antarabangsa.
Selepas ini, Sukan Asia akan turut mempertandingkan acara e-sukan di kejohanan tersebut dan sesuatu perlu dilakukan bagi menghasilkan barisan atlet yang mampu menghadiahkan pingat kepada negara.
Malaysia baru sahaja selesai menjadi tuan rumah kejohanan Mobile Legends terbesar di Asia Tenggara, Mobile Legends Southeast Asia Cup (MSC) 2022 yang diadakan di MITEC bermula pada 11 Jun yang lalu.