KL City dah kejar Jordan Mintah dari tahun lepas, terima kasih TFC II lepaskan – Stanley Bernard

3,950

Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard mengakui The City Boys mahu membawa masuk penyerang Terengganu FC II, Jordan Mintah sejak daripada tahun lepas lagi.

Beliau berkata perkara itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan berikutan beberapa faktor, tetapi berterima kasih kepada pihak TFC II kerana akhirnya bersetuju untuk meminjamkan pemain itu.


“Ini bukanlah perkara yang baru kerana kami telah mengejar Jordan Mintah sejak daripada tahun lepas lagi. Tetapi selepas empat, lima bulan barulah mereka bersetuju.

Ia adalah satu perkara yang baik buat Mintah mendapatkan minit permainan bersama pasukan Liga Super, jadi mungkin disebabkan itu ada persetujuan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Stanley, pemain itu bagaimanapun tidak sempat untuk beraksi bersama pasukan KL City bagi saingan Piala AFC yang akan bermula Jumaat ini.

Beliau berkata Mintah hanya akan berkasi di kejohanan itu sekiranya KL City berjaya melepasi peringkat kumpulan.

Mengenai persiapan untuk menghadapi kejohanan itu, Stanley berkata pasukan KL City akan melakukan yang terbaik bagi mengharungi cabaran dua kelab jiran iaitu PSM Makassar dari Indonesia dan kelab Singapura, Tampines Rovers.

Beliau meletakkan sasaran buat anak-anak buah Bojan Hodak untuk melangkah ke peringkat seterusnya namun tidak mengambil mudah cabaran kedua-dua pasukan itu.

“Bagi saya tiada pasukan pilihan dalam kumpulan ini dan ia bergantung kepada prestasi setiap kelab semasa kejohanan itu berlangsung.

Setiap kelab hanya mempunyai dua perlawanan, jadi siapa yang berjaya memberikan yang terbaik dalam 180 minit akan layak ke pusingan seterusnya.”

KL City akan menentang PSM Makassar pada perlawanan pembukaan Kumpulan H Piala AFC Jumaat ini sebelum bertemu Tampines Rovers pada 30 Jun.