Bidaan tempat sendiri dah berjaya, tiket kombo dah beri, sekarang terpulang kepada penyokong – Stanley Bernard
Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard berharap para penyokong dapat turun ke stadium bagi memberi sokongan padu kepada para pemain pada saingan Piala AFC nanti.
Menurut beliau pihak pengurusan telah melakukan segala-galanya bagi memudahkan serta menggalakkan penyokong untuk turun memberi sokongan kepada pasukan seperti melakukan bidaan bagi menjadi tuan rumah dan menjual tiket secara kombo.
Walaubagaimanapun, beliau berkata sasaran kehadiran harus realistik memandangkan perlawanan diadakan pada hari bekerja.
“Kita dah menang bidaan untuk menganjurkan perlawanan peringkat kumpulan, selain penjualan tiket secara kombo, jadi sekarang terpulang kepada penyokong untuk hadir ke stadium.
Saya sudah bermain bersama kelab ini sejak berusia 12 tahun lagi dan saya tahu bukan mudah untuk jadi seorang penyokong KL City, jadi saya berterima kasih kepada penyokong setia yang sentiasa hadir,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau berkata kejayaan KL City menjulang Piala Malaysia 2021 sepatutnya menjadi pembakar semangat buat para penyokong untuk turun ke stadium.
Menurut beliau sambutan terhadap tiket yang dijual setakat ini amat baik dan menjangkakan akan ada peningkatan pada saat-saat akhir nanti.
“Kalau tanya mana-mana kelab yang ada duit sekalipun, benda yang mereka tak boleh beli adalah piala dan kami berjaya meraih satu piala dalam satu tahun penswastaan walaupun tidak mempunyai bajet besar.
Jadi saya harap perkara itu akan menjadi tarikan buat pasukan KL City.”
Dalam pada itu, beliau berkata persiapan KL City sebagai tuan rumah masih lagi berjalan dan akan memberikan layanan terbaik buat dua lagi pasukan yang berada dalam kumpulan H iaitu PSM Makassar (Indonesia) dan Tampines Rovers (Singapura).
KL City akan menentang PSM Makassar pada perlawanan pembukaan Kumpulan H Piala AFC Jumaat ini sebelum bertemu Tampines Rovers pada 30 Jun.