Dion Cools pemain paling bernilai di Malaysia

30,098

Pemain pertahanan negara, Dion Cools kini merupakan pemain paling bernilai dan termahal di Malaysia.

Berdasarkan harga pasaran Cools di transfermarkt.com, pemain kacukan Belgium-Malaysia itu diletakkan pada tanda harga €850,000 atau kira-kira lebih RM3.9 juta sekaligus jauh meninggalkan pemain-pemain negara lain.


Walaupun harga pasaran semasa pemain berusia 26 tahun itu boleh dikatakan sangat tinggi untuk seorang pemain Malaysia, tetapi tanda harga tersebut jauh lebih rendah dari sebelum ini dengan harga pasaran Cools pernah mencecah €3 juta atau lebih RM13.9 juta pada tahun 2018 yang mana ketika itu beliau bermain untuk pasukan Club Brugge KV.

Cools kini beraksi bersama kelab SV Zulte Waregem di Jupiler Pro League.

Pemain kedua dan ketiga paling bernilai di Malaysia ketika ini menjadi milik bek kiri dan kanan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu La’Vere Corbin-Ong dan juga Matthew Davies dengan masing-masing mempunyai nilai pasaran yang sama iaitu €350,000 atau lebih RM1.6 juta.

Kedua-dua pemain ini juga adalah pemain warisan yang mana Corbin Ong adalah kacukan Barbados-Malaysia, manakala Matt Davies pula Australia-Malaysia.

Tempat keempat pula adalah milik pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi yang juga bermain dengan JDT dengan nilai pasaran €325,000 atau sekitar RM1.5 juta.

Menariknya pada tempat kelima pula menjadi milik pemain dari Sabah FC iaitu Baddrol Bakhtiar, anak jati Malaysia yang mempunyai nilai pasaran €300,000 atau lebih RM1.3 juta.

Baddrol merupakan pemain paling berusia dalam senarai top-5 dalam senarai pemain paling bernilai di Malaysia pada usia 34 walaupun beliau tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan baru-baru ini ketika Kelayakan Piala Asia 2023.

Walaupun tidak mendapat panggilan daripada ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, namun Baddrol tetap menjadi tonggak utama dan kapten dalam pasukan Sabah ketika ini.

Biarpun bukan bermain di posisi penyerang, tetapi pemain tengah yang pernah dikenali sebagai The Sniper ini terus merobek gawang lawan dengan gol-gol yang cukup menakjubkan.

Sementara itu, berikut adalah senarai lima lagi pemain yang berada dalam top-10 pemain negara paling bernilai.

6. Afiq Fazail (JDT) – €300,000 (RM1.3 juta)

7. Wan Kuzain (St. Louis City 2) – €300,000 (RM1.3 juta)

8. Safawi Rasid (JDT) – €300,000 (RM1.3 juta)

9. Arif Aiman (JDT) – €300,000 (RM1.3 juta)

10. Azam Azih (Sri Pahang) – €275,000 (RM1.2 juta)

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen