S.Balachandran calon terbaik kekalkan Sarawak United di Liga Super?
Bekas penolong jurulatih Harimau Malaya, S. Balachandran akan berhadapan tugas getir selepas dipilih untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh ketua jurulatih Sarawak United FC, B.Sathianathan.
Sebelum ini, Sathianathan mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut selepas aksi menentang Selangor FC ekoran daripada masalah kesihatannya yang semakin serius.
Oleh itu, tanggungjawab besar itu akan dipikul oleh Balachandran untuk menggantikan tempat jurulatih berpengalaman dan berpengaruh seperti Sathianathan.
Tambahan pula, prestasi pasukan Kenyalang Emas yang dilihat terumbang ambing di Liga Super ketika ini menjadi antara beban terbesar yang perlu digalas oleh jurulatih tesebut.
Nama Balachandran mungkin jarang disebut oleh peminat namun beliau pada dasarnya memiliki pengalaman yang sangat luas dan pernah disebut sebagai calon ketua jurulatih skuad B-23 negara sebelum Brad Maloney mengambil alih.
Balachandran sebelum ini pernah menjadi watak penting membantu pasukan kebangsaan di bawah kendalian bekas ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe menghadapi 27 perlawanan antarabangsa bermula tahun 2018 sehingga Januari 2021.
Selain itu, beliau juga pernah membimbing pasukan B-16 negara dan pencapaian terbaiknya adalah membawa skuad tersebut layak ke saingan suku akhir Piala Asia B-16 pada tahun 2014.
Namun, ini merupakan tugasan pertama Balachandran sebagai ketua jurulatih pasukan Liga Super dan cabarannya akan jadi lebih mencabar.
Masa depan pasukan Borneo ini berada sepenuhnya di tangan jurulatih tersebut bagi merencana strategi yang mampu mengekalkan pasukan ini di saingan Liga Super musim depan.
Sarawak United kini berada di tangga kedua tercorot selepas hanya berjaya mencatatkan dua kemenangan daripada 10 perlawanan.
Meskipun begitu, pengalaman yang dimiliki Balachandran mampu menjadi senjata untuk memulakan kebangkitan pasukan Sarawak United dalam saingan liga.
Tugasan pertama beliau adalah untuk menganalisa semula impak yang dibawa oleh pemain import yang dimiliki oleh pasukan tersebut yang dilihat gagal menunjukkan persembahan yang diinginkan.
Penyerang Francis Kone yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Negeri Sembilan FC antara nama pemain import yang mempamerkan aksi hambar sepanjang 10 perlawanan liga.
Kekalahan besar kepada pasukan Selangor FC pada perlawanan terakhir memberi tamparan hebat kepada barisan kejurulatihan Sarawak United yang kelihatan tidak tersusun semenjak Sathianathan dilanda masalah kesihatan.
Sehingga ke perlawanan ke-10, pasukan itu telah dibolosi sebanyak 27 kali dan hanya berjaya menjaringkan lapan gol sahaja.
Keadaan ini perlu segera diubah oleh Balachandran bagi mengelakkan pasukan tersebut terus diaibkan.
Di kesempatan ini, kami di Harimau Malaya berharap agar Sathianathan segera diberikan kesembuhan untuk kembali ke kancah bola sepak Malaysia.