Ke mana destinasi mereka selepas ini?

27,254

Tempoh jendela perpindahan kedua musim 2022 Liga Malaysia bakal menutup tirai pada 24 Jun ini dan untuk kali ini boleh dikatakan yang paling ‘suram’ kerana tidak banyak perpindahan besar yang berlaku.

Hanya beberapa pasukan sahaja yang dilihat berbelanja besar antaranya Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang yang terpaksa melakukan rombakan berikutan prestasi terumbang-ambing pada awal musim ini.


Bagaimanapun perpindahan pemain dari pasukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi tanda tanya buat ramai penyokong berikutan sebelum ini mereka pernah mengumumkan akan membawa masuk empat pemain baru, bagaimanapun sehingga kini masih tiada khabar berita.

Selain itu, ramai juga penyokong mula tertanya-tanya dengan destinasi seterusnya buat beberapa pemain yang sehingga kini masih tidak mempunyai pasukan.

Antara pemain yang ketika ini tanpa pasukan adalah pemain pertahanan negara, Junior Eldstal yang mana kontraknya bersama pasukan Chonburi FC telah tamat baru-baru ini dan beliau kini sedang mencari pasukan baru.

Biarpun ditanya ke mana destinasinya sebelum ini, namun Junior enggan mendedahkan butiran lanjut sebaliknya berkata tunggu sahaja nanti.

Bekas bek kiri KL City FC, Daniel Ting juga dilaporkan bakal kembali ke Liga Malaysia bersama pasukan dari selatan tanah air tetapi buat masa ini ia masih belum dapat disahkan.

Ini kerana sebelum ini pihak pengurusan KL City terpaksa menamatkan kontrak pemain kacukan Malaysia-England itu atas sebab peribadi dan bukannya mahu berhijrah ke pasukan lain seperti yang dilaporkan ketika itu.

Bagaimanapun sekiranya beliau benar-benar kembali beraksi di Malaysia bersama pasukan yang dilaporkan sebelum ini, sudah pasti penyokong juara Piala Malaysia musim lalu akan berasa dikhianati.

Seorang lagi pemain warisan, Kobe Jae Chong juga sedang menjadi perhatian ramai penyokong berikutan kontraknya bersama kelab Inggeris, Peterborough United telah tamat dan beliau dikatakan akan menyertai pasukan di Liga Malaysia, namun sehingga kini masih tiada khabar berita mengenai ke mana destinasi pemain itu.

Walaupun desas-desus yang mengatakan ketiga-tiga pemain akan berhijrah ke pasukan yang sama tetapi perkara itu masih lagi menjadi tanda tanya ramai.

Semuanya mungkin akan terjawab dalam masa terdekat ini atau lebih tepat lagi pada Jumaat ini.

Dalam pada itu, selain tiga pemain yang masih lagi tidak mempunyai pasukan ketika ini, dua nama lagi iaitu Luqman Hakim dan Liridon Krasniqi juga menjadi sebutan penyokong.

Umum sedia maklum bahawa Luqman masih lagi mempunyai kontrak bersama pasukan KV Kortrijk, namun kelibatnya di sana masih lagi tidak kelihatan walaupun kelab itu kini sedang membuat persiapan pra musim di sana.

Di laman sosial Instagram milik penyerang sensasi negara itu, beliau memuat naik foto berlatarbelakangkan pantai berkemungkinan masih berada di Malaysia.

Adakah ‘Luqie’ akan kembali beraksi di Liga Malaysia atau beliau akan terus beraksi bersama kelab milik Tan Sri Vincent Tan? Sama-sama kita nantikan perkembangan terbaru beliau.

Sementara itu, nasib Liridon atau Mat Don juga masih belum diketahui kerana tempoh pinjaman ke kelab India, Odisha sudah pun tamat dan beliau sudah kembali ke JDT.

Bagaimanapun timbul persoalan adakah beliau akan bermain bersama skuad utama atau JDT II yang beraksi di Liga Perdana?

Ini kerana kedua-dua skuad itu boleh dikatakan sudah mantap, jadi Mat Don berkemungkinan besar akan memanaskan bangku simpanan.

Satu lagi kemungkinan yang boleh berlaku adalah beliau akan dipinjamkan ke pasukan lain lagi selepas ini.

Semuanya masih samar dan hanya akan terjawab dalam tempoh beberapa hari lagi. Jadi mari kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku kepada kesemua pemain ini.

Teruskan memberi sokongan padu kepada saingan Liga Malaysia. Ingat ini bola sepak kita!