Hanya Lee Zii Jia mampu jadi penghalang Viktor Axelsen takluk Terbuka Malaysia
Kejohanan badminton Terbuka Malaysia yang akan bermula pada 28 Jun ini akan menjadi medan pertempuran pemain badminton terbaik dunia.
Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia diletakkan sebagai harapan utama untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh bekas pemain No.1 Dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei.
Saingan utama Zii Jia semestinya pemain ranking pertama Dunia, Viktor Axelsen dari Denmark.
Axelsen dilihat sentiasa konsisten mempamerkan aksi bertenaga pada setiap kejohanan yang disertainya.
Baru-baru ini, pemain berusia 28 tahun itu telah memenangi dua kejuaraan berturut-turut di bumi Indonesia pada kejohanan Indonesia Masters 2022 dan Terbuka Indonesia 2022.
Kehebatan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2020 ini dilihat hasil daripada latihan intensif yang dilakukan oleh beliau bersama pemain-pemain ternama yang lain seperti juara dunia, Loh Kean Yew dan pemain India, Lakshya Sen di Dubai.
Pada masa ini, kumpulan pemain ini merupakan antara pemain perseorangan yang dilihat konsisten menerusi pencapaian memberangsangkan pada setiap kejohanan yang disertai.
Tugasan berat menanti Zii Jia ekoran daripada tekanan yang digalas oleh beliau sebagai perseorangan utama negara.
Pemain muda ini perlu terus mempamerkan permainan yang cemerlang bagi membolehkan beliau menakluk kejohanan yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Pada masa yang sama, pemain kelahiran Kedah ini perlu menjadikan Chong Wei sebagai teladan.
Chong Wei merupakan antara pemain yang berjaya mendominasi kejohanan Terbuka Malaysia selepas berjaya memenangi kejohanan ini sebanyak 12 kali bermula dari tahun 2004.
Chong Wei sentiasa berjaya mempamerkan aksi bertenaga di kejohanan Terbuka Malaysia untuk menewaskan lawannya termasuk musuh ketat dari China, Lin Dan.
Ketenangan mengawal gelanggang yang ditunjukkan oleh Chong Wei di dalam setiap perlawanan menjadi salah satu senjata utamanya untuk berjaya menjadi pemain No.1 Dunia selama 349 minggu.
Zii Jia harus bijak mengambil peluang beraksi di gelanggang keramat sebagai motivasi untuk beliau mempamerkan aksi bertenaga seperti yang ditunjukkan semasa menjuarai Terbuka Thailand pada Mei tahun ini.
Meskipun kelebihan berada di tangan Axelsen, namun peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh Zii Jia pada ketika ini dilihat mampu memberi saingan sengit kepada pemain itu.
Pada pertemuan terakhir, Zii Jia berjaya mengheret Axelsen sehingga ke set penentuan sebelum tewas 23-21 untuk menamatkan perjuangannya di peringkat separuh akhir Terbuka Indonesia.
Kali terakhir Zii Jia berjaya menewaskan Axelsen adalah pada perlawanan akhir All England 2021.