Pasukan perlu wujudkan kelab penyokong rasmi, waktu perlawanan tukar kepada pukul 6 petang
Hubungan antara pasukan bola sepak dan penyokong boleh diumpamakan seperti ‘suami isteri’ kerana masing-masing memerlukan antara satu sama lain.
Tanpa pasukan bola sepak maka penyokong tidak akan wujud, manakala jika tiada penyokong maka pasukan bola sepak itu tidak akan dapat bertahan lama, jadi amatlah penting untuk sesebuah pasukan bola sepak untuk mempunyai penyokong mereka tersendiri.
Contoh terbaik yang boleh dilihat adalah pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 yang menyaksikan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi tuan rumah untuk perlawanan Kumpulan E.
SNBJ merupakan antara salah sebuah stadium yang mempunyai kapasiti terbesar di dunia dengan lebih 85,000 tetapi sepanjang kelayakan berlangsung, hanya perlawanan antara Malaysia menentang Bahrain mencatatkan jumlah penyokong terbanyak yang hadir iaitu lebih 63,000.
Walaupun tampak besar tetapi hakikatnya jumlah itu sebenarnya banyak berkurangan jika dibandingkan perlawanan Kelayakan Piala Dunia pada tahun 2019 menentang Indonesia yang mana menyaksikan stadium penuh dengan penyokong Harimau Malaya.
Masalah penyokong bola sepak Malaysia sudah lama menjadi satu ‘isu’ kerana sehingga kini perlawanan Liga Malaysia juga kurang mendapat sambutan apabila jumlah penyokong yang turun ke stadium sangat kecil.
Hanya perlawanan besar sahaja akan memperlihatkan peningkatan jumlah penyokong. Perkara ini berlaku berkemungkinan besar disumbang dari faktor terdapat siaran langsung secara percuma di YouTube dan TV.
Mentaliti seperti itu perlu diubah segera supaya Liga Malaysia tidak berdepan masalah susulan tiada sambutan daripada penyokong untuk liga tempatan. Ia akan menjejaskan nilai komersial sesuatu liga jika tiada sokongan padu.
Tidak dapat dinafikan setiap pasukan mempunyai Ultras sendiri dan mereka ini adalah penyokong paling setia yang akan turun setiap kali pasukan kesayangan turun beraksi bagi memberi sokongan tidak kira ketika waktu menang atau kalah.
Bagaimanapun Ultras mempunyai beberapa ‘peraturan’ yang boleh mengehadkan penglibatan penyokong lain antaranya adalah penyokong wanita dan kanak-kanak tidak dibenarkan berada dalam Ultras atas sebab-sebab tertentu.
Oleh itu, pentingnya wujud satu kelab peminat rasmi dari pasukan itu sendiri. Tidak perlu melihat ke Eropah jika mahu bercerita mengenai penyokong setia, sebaliknya lihat sahaja negara jiran, Indonesia yang mana setiap pasukan tidak kira dari Liga 1 hingga ke pasukan kampung mereka mempunyai kelab penyokong mereka tersendiri.
Dengan adanya kelab penyokong ini membuatkan mereka terus kekal setia untuk memenuhi stadium setiap kali pasukan mereka turun beraksi. Kelab penyokong berdaftar sebenarnya mampu menarik lebih ramai penyokong ke stadium.
Antara faktor lain yang menyumbang kepada penyokong tidak ke stadium adalah jadual perlawanan yang berlangsung pada 9.00pm hingga 11.00pm yang mana ramai merungut sukar untuk datang berikutan kurangya pengangkutan umum terutamanya selepas pukul 11.00pm.
Tambahan pula jika keesokan harinya adalah hari bekerja, jadi mereka akan terkejar-kejar untuk ke pejabat.
Ketika ini Malaysian Football League (MFL) telah memperkenalkan tiga waktu perlawanan iaitu pada 7.30pm, 8.15pm dan 9.00pm.
Ternyata perubahan waktu perlawanan ini mendapat pelbagai reaksi yang mana ada yang setuju dan ada yang tidak setuju. Salah satunya adalah jika bermain pada pukul 8.15pm, perlawanan terpaksa dihentikan seketika apabila Azan Isyak berkumandang, sedikit sebanyak ia merencatkan perlawanan.
Dari sudut penyokong pula mereka terpaksa melambat-lambatkan solat Isyak berikutan perlawanan sedang berlangsung, oleh itu mereka lebih gemar jika perlawanan bermula pada pukul 9.00pm.
Bagaimanapun jika perlawanan bermula pada pukul 9.00pm, ia akan memberi kesan kepada penyokong yang datang dengan pengangkutan awam yang terpaksa mengejar waktu supaya tidak terlepas waktu balik menyebabkan mereka ambil keputusan untuk tidak ke stadium.
Terdapat penyokong yang mencadangkan agar perlawanan dilakukan pada sebelah petang iaitu sekitar 6.00pm kerana apabila perlawanan tamat sekitar 9.00pm penyokong masih mempunyai banyak masa selain pengangkutan awam masih beroperasi.
Sebenarnya pelbagai lagi cadangan yang diutarakan oleh penyokong bola sepak tanah air, tetapi pihak MFL sudah pasti sudah mempunyai alasan mereka tersendiri mengapa waktu tersebut dipilih.
Teruskan melontar pandangan dan cadangan anda demi bola sepak tanah air. Jangan berasa kecewa jika cadangan anda tidak didengari buat masa ini kerana mana tahu satu hari nanti cadangan anda mungkin akan diguna pakai.
Apa yang penting adalah kita sebagai penyokong perlu terus memberi sokongan padu kepada bola sepak tempatan kerana jika tiada kita, maka bola sepak tanah air akan merosot dan ini adalah sesuatu yang kita tidak ingin lihat berlaku.