Stadium gergasi 1,000,000 penonton idea mengarut

22,075

Baru-baru ini, satu prototaip stadium dengan kapasiti satu juta tempat duduk penonton hasil rekaan artis Amerika Syarikat, Paul Pfeiffer tular di internet dan mendapat perhatian peminat sukan itu.

Menurutnya pemandangan dari tingkat atas stadium adalah inspirasi daripada tempat duduk lawan di St. James Park.


Rata-rata komen di media sosial bagaimanapun tidak bersetuju dengan idea tersebut kerana dianggap tidak praktikal.

Jika difikirkan secara logik, tidak mungkin penonton yang duduk di hujung stadium akan dapat menyaksikan pemain atau bola dengan jelas.

Ia ternyata bertentangan dengan tujuan hadir ke stadium untuk menonton perlawanan secara langsung.

Dari segi keselamatan juga, stadium sebesar itu dilihat lebih rumit untuk menguatkuasakan kawalan keselamatan kerana jumlah penonton yang ramai dan juga saiznya yang amat besar.

Jika berlaku kemalangan yang tidak dijangka seperti rempuhan penonton, mungkin agak sukar bagi pasukan keselamatan untuk melakukan tugas-tugas penyelamatan.

Mungkin apa yang positif adalah dari segi kewangan kerana pengurusan stadium boleh menjana banyak wang hasil daripada penjualan tiket.

Namun tidak semestinya setiap perlawanan yang diadakan di stadium itu akan full house, mungkin juga untuk mencapai separuh daripada kapasiti stadium adalah satu perkara yang mustahil, lebih-lebih lagi di bahagian tempat duduk hujung.

Ketika ini, Rungrado 1st of May Stadium yang terletak di Korea Utara merupakan stadium dengan kapasiti tempat duduk terbanyak iaitu 150,000 penonton dan jumlah itu masih dilihat kecil berbanding protaip stadium tersebut.

Tidak salah untuk membina stadium bersaiz gergasi dan mampu memuatkan ramai orang tetapi kesesuaiannya harus dipertimbangkan dari pelbagai sudut terlebih dahulu.