Sanggup keluar daripada salah satu kelab terbesar dunia demi minit permainan, mentaliti Minamino harus dicontohi pemain Malaysia
Setelah dua setengah musim bersama Liverpool, penyerang Takumi Minamino akhirnya akan meninggalkan England pada jendela perpindahan musim panas ini untuk menyertai kelab Ligue 1, AS Monaco.
Kelab Perancis itu dilaporkan telah bersetuju dengan nilai perpindahan sebanyak £15.5 juta (RM83.5 juta) bagi bintang Jepun itu.
Perpindahan itu bukanlah satu perkara yang mengejutkan memandangkan beliau sering kali diletakkan di bangku simpanan atau langsung tidak dipilih di dalam skuad kerana pesaingan yang begitu sengit di The Reds.
Tambahan pula, Liverpool baru saja membawa masuk dua muka baharu dan muda di bahagian serangan iaitu Fabio Carvalho dan Darwin Nunez.
Dengan kehadiran kedua-dua pemain berbakat itu, Minamino sedar ia akan menyukarkan lagi dirinya untuk mendapat minit permainan dan mengekalkan tempatnya di pasukan kebangsaan Jepun untuk beraksi di Piala Dunia Qatar 2022.
Sudah pasti untuk meninggalkan salah satu pasukan terbesar di Eropah mahupun dunia bukanlah satu keputusan yang mudah buat mana-mana pemain, namun bagi seorang pemain yang mempunyai semangat untuk bermain, minit permainan adalah segala-galanya. Bukan wang.
Sejak menyertai Liverpool pada Januari 2020, Minamino telah memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Piala EFL di peringkat domestik.
Jika mahu terus berada dalam zon selesa, Minamino memang boleh saja kekal bersama Liverpool dan tidak mustahil koleksi pialanya akan terus bertambah di samping pendapatan dan kehidupan mewah.
Ini adalah contoh yang terbaik buat sebilangan pemain di Malaysia yang lebih selesa bermain di dalam negara walaupun tidak mendapat minit permainan kerana ditawarkan gaji yang lumayan.
Tanpa minit permainan yang mencukupi, sudah tentu pemain akan ‘berkarat’ dan mengalami penurunan prestasi, dan seterusnya hilang di depan mata peminat dan tempat di pasukan kebangsaan.
Sementara di Asia Tenggara, bintang No.1 Vietnam, Nguyen Quang Hai juga boleh dijadikan contoh apabila menolak tawaran kontrak lumayan daripada kelab gergasi negara itu, Hanoi FC semata-mata untuk melebarkan sayapnya ke Eropah bersama kelab Ligue 2, FC Metz.
Beliau menunjukkan bahawa seorang pemain tidak perlu takut untuk berhijrah ke negara baru untuk mencabar kemampuan diri dan meningkatkan lagi tahap permainan.
Mentaliti yang ditunjukkan kedua-dua pemain ini harus menjadi inspirasi terutama buat pemain-pemain muda negara.