Mentaliti Juara Piala Dunia: Kunci kejayaan Samurai Blue
Bintang muda Jepun, Ritsu Doan sekali lagi menegaskan keinginan membantu Samurai Blue menjuarai Piala Dunia tahun ini.
Kenyataan ini dibuat menerusi tweet balas Doan kepada bekas pemain kebangsaan ternama senegara, Keisuke Honda yang seperti mempersoalkan prestasi hambar Jepun dalam perlawanan persahabatan terakhir bertemu Tunisia.
Jepun kalah 3-0 dan mengakhiri siri perlawanan persahabatan antarabangsa dengan dua kemenangan dan dua kekalahan.
Honda merupakan pemain tengah yang mula mewakili pasukan Jepun pada tahun 2008 dan berjaya mengumpul 98 caps dan 37 gol.
Kini, Honda sedang berkhidmat bersama pasukan kebangsan Kemboja selaku pengurus pasukan.
Meskipun tewas kepada pasukan Afrika, Tunisia, Doan tetap optimis bahawa Jepun mampu membawa kejayaan pada tahun ini di Qatar.
Belum pernah dalam sejarah pasukan dari rantau Asia ataupun Afrika memenangi Piala Dunia.
Inilah tweet balas Doan kepada Honda:
“Honda-san, semenjak menjadi pemain bola sepak, saya tidak pernah melupakan impian untuk memenangi Piala Dunia bersama Jepun! Mari kita tunggu bulan November nanti (Piala Dunia)!”
Pemain berusia 24 tahun ini mempamerkan mentaliti yang cukup hebat sebagai seorang pemain muda.
Doan yang kini beraksi bersama gergasi Liga Belanda, PSV Eindhoven boleh dijadikan sebagai contoh terbaik kepada kesemua pemain muda di Asia mahupun dunia.
Ramai pemain muda dari Jepun telah mula berkelana bermain dengan kelab-kelab besar di luar negara misalnya Takefusa Kubo yang bermain untuk Real Madrid.
Kebanyakan dari mereka menjadikan pasukan benua Eropah sebagai ‘batu loncatan’ untuk meningkatkan kualiti permainan.
Perkara ini turut memberi kelebihan kepada pasukan kebangsaan Jepun yang sering mencapai kejayaan menakjubkan di peringkat antarabangsa.
Piala Asia bukan lagi fokus utama pasukan Matahari Terbit tersebut yang telah lama meninggalkan negara Asia lain dari segi pembangunan bola sepak yang dilakukan sejak berkurun lama.
Situasi ini turut mempengaruhi pemikiran pemain muda mereka yang sentiasa meletakkan Piala Dunia sebagai matlamat utama sewaktu mewakili pasukan kebangsaan.
Perkara ini harus dicontohi oleh pemain muda negara bagi membantu untuk meningkatkan lagi kualiti bola sepak Malaysia.
Kebanyakan pemain muda dalam negara terlalu mudah untuk hanyut dan berasa terlampau selesa dengan kejayaan domestik yang telah dicapai, ataupun senang berputus asa apabila menemui kegagalan.
Jika terus berpanjangan, impian Malaysia untuk layak ke Piala Dunia akan terus menjadi angan-angan kosong.
Pasukan Jepun diletakkan di dalam kumpulan maut Piala Dunia Qatar 2022 bersama dua bekas juara, Sepanyol dan Jerman serta sebuah pasukan dari CONCACAF, Costa Rica.
Jerman akan menjadi lawan pertama Jepun pada 23 November ini.